SEREMBAN – Kejadian tanah mendap yang berulang di Presint 4, Jalan A40, Taman Warisan Puteri di sini dikesan berlaku disebabkan pergerakan tanah akibat aliran air di bawahnya.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Baharuddin berkata, punca itu dikenal pasti hasil siasatan lanjut yang dilakukan oleh pihak kontraktor dan perunding.
“MBS telah memanggil pihak kontraktor dan perunding bagi mendapatkan penjelasan lebih teliti serta merancang tindakan yang perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
“Hasil siasatan mendapati terdapat pergerakan tanah akibat aliran air di bawahnya dan mendapan tanah yang berlaku sepanjang 90 meter telah mengakibatkan keretakan jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, pihak MBS juga akan memanggil pihak pemaju kerana didakwa tidak berpuas hati dengan penjelasan daripada pihak perunding.
Jelasnya, sebagai langkah awal, MBS telah memasang kanvas pada 20 Disember tahun lalu dan tindakan itu telah ditambah baik sehingga kini.
“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri lokasi terbabit,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kebimbangan penduduk berhubung kejadian tersebut yang didakwa semakin teruk meskipun telah dibaik pulih oleh pihak berwajib.


