Penduduk kembali resah, jalan mendap berulang lagi

3 Apr 2026 • 2:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan jalan mendap di Presint 4, Jalan A40, Taman Warisan Puteri. Gambar kecil: Mohd Amran
image is not available
Keadaan jalan mendap di Presint 4, Jalan A40, Taman Warisan Puteri membimbangkan penduduk.

SEREMBAN - Penduduk di Presint 4, Jalan A40, Taman Warisan Puteri di sini kembali resah apabila mendapan jalan yang berlaku tiga tahun lalu, berulang lagi.

Malah keadaan mendapan kali ini disifatkan lebih teruk meskipun telah dibaik pulih oleh pihak berwajib sebelum ini.

Mohd Amran Hamid, 68, berkata, mendapan tersebut dilihat berlaku semula pada bulan Oktober tahun lalu.

“Pada mulanya hanya kecil saja, namun lama-kelamaan semakin besar dan keadaan menjadi lebih buruk setiap kali hujan.

"Ada penduduk yang telah pun menghubungi Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk tindakan dan MBS ada datang memasang kanvas di sini, tapi sehingga kini masih tiada sebarang tindakan lanjut diambil," katanya ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, penduduk di kawasan itu bimbang sekiranya tindakan lambat diambil keadaan tidak diingini akan berlaku.

Ujarnya, pada kejadian pertama tiga tahun lalu, sebuah kereta penduduk yang diletakkan di kawasan itu mengalami kerosakan kerana terjerlus ke dalam mendapan.

**media[3480460]**

"Hari raya ini pun anak-anak saya pulang ke rumah susah nak letak kereta disebabkan jalan di hadapan rumah itu mendap," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk, Ismail Mahat berharap tindakan pembaikan dapat dilakukan segera kerana aduan telah pun dibuat kepada MBS pada Disember lalu.

Jelasnya, berdasarkan pengamatannya mendapan berlaku sepanjang kira-kira 80 meter, dan kira-kira 12 meter dengan rumah penduduk.

"Saya harap MBS dapat menyiasat kenapa mendapan ini berulang lagi sedangkan pembaikan yang melibatkan kos yang besar telah pun dibuat.

"Adakah ada aliran air di bawah jalan ini menyebabkan kejadian itu berulang?" soalnya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin berkata, pihaknya telah pun berhubung dengan konsultan projek bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

"Pihak konsultan akan datang berjumpa dengan saya di MBS pada jam 4.30 petang ini bagi mengemukakan tindakan dan cadangan pembaikan yang boleh dilakukan," katanya.