Allah Bersama Gen Z: Trend kosmetik atau tiang talian hayat?

28 Jun 2026 • 11:07 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Allah Bersama Gen Z: Trend kosmetik atau tiang talian hayat?

SHAH ALAM, 28 Jun: Satu slogan penuh makna kini rancak memenuhi skrin telefon pintar setiap kali kita meneroka media sosial. Ada yang menyematkannya pada gambar atau video, menjadikannya tanda pagar, malah ada yang menutup coretan panjang mereka dengan ungkapan ini.

Walau bagaimanapun, sebahagian daripada kita mungkin merasa asing dan tertanya-tanya mengenai maksud sebenar di sebalik empat perkataan ini, dan mengapa ia begitu tular dalam kalangan netizen.

Melihat kepada landskap digital hari ini, majoriti penggerak slogan ini ialah Generasi Z atau Gen Z, iaitu mereka yang kini berada dalam lingkungan usia remaja sehinggalah fasa awal dewasa antara 14 hingga 29 tahun. Kelompok ini merangkumi pelajar sekolah menengah, mahasiswa universiti, hinggalah mereka yang baru membina kerjaya dan berkeluarga.

Di sebalik tekanan realiti Gen Z

Setiap generasi mempunyai pakej ujiannya yang tersendiri. Bagi Gen Z, mereka berdepan dengan tekanan yang sangat unik. Pada peringkat sekolah, mereka menghadapi persaingan akademik yang sengit, khususnya dalam mengerah keringat demi keputusan SPM yang cemerlang untuk merebut tempat di universiti terkemuka serta tajaan biasiswa yang semakin kompetitif.

Pada peringkat universiti dan kerjaya pula, mahasiswa perlu mengekalkan keputusan yang tinggi demi pasaran kerja. Apabila menjejaki alam pekerjaan, mereka bergelut pula dengan isu kos sara hidup yang tinggi dan jurang gaji yang tidak sepadan dengan bebanan tugas, sehinggakan ada yang terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan.

Bagi yang sudah mendirikan rumah tangga, tanggungjawab menyara keluarga, komitmen bulanan, dan mendidik anak-anak di era digital menambahkan lagi tekanan sedia ada.

Maka, tidak hairanlah platform digital seperti Instagram, Threads, X, dan TikTok menjadi ruang selamat untuk mereka meluahkan kepenatan, sama ada kisah gagal temu duga, tidak mendapat universiti impian, atau keletihan bekerja dari pagi hingga malam demi kelangsungan hidup.

Daripada rantaian luahan ini, ruangan komen bertukar menjadi medan sokongan moral. Di sinilah tercetusnya solidariti rohani menerusi slogan Allah bersama Gen Z. Ungkapan ringkas ini bertindak sebagai sauh emosi yang mengingatkan mereka bahawa mereka tidak keseorangan.

Ia menyuntik optimisme bahawa di sebalik setiap kesempitan, pasti ada kelapangan. Tanpa sokongan emosi seperti ini, tekanan hidup yang berterusan dikhuatiri boleh menghanyutkan mereka ke lembah kemurungan, keresahan, dan isu kesihatan mental yang lebih parah.

Peringatan rohani versus tiket halal

Apabila dinilai secara mendalam, slogan ini sebenarnya berakar ruji daripada intipati firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 40 yang bermaksud:

“Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Ia merupakan satu pesanan yang sangat memujuk hati bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan hamba-Nya sendirian,”

Sungguh mengagumkan melihat bagaimana media sosial tanpa sempadan ini dimanfaatkan oleh Gen Z untuk saling berpesan demi kebaikan tanpa perlu terikat dengan format ceramah konvensional. Komen ringkas yang tulus mampu mengetuk pintu hati dan mendekatkan semula manusia kepada Pencipta.

Namun, sekeping syiling tetap mempunyai dua muka. Di sebalik keindahan slogan ini, timbul kegusaran apabila ia mula disalah guna. Ada kalanya ungkapan suci ini diletakkan pada hantaran yang jelas mempamerkan gaya hidup berbelanja mewah yang boros, atau perbuatan yang melanggar batas syariat.

Malah, empat perkataan ini seolah-olah dijadikan tiket halal atau perisai untuk menghalang teguran. Lebih menyedihkan, apabila ada pihak yang cuba membetulkan konteks penggunaan slogan tersebut dengan berhemah, mereka pula yang diserang dengan kata-kata kurang sopan.

Apabila perkara ini terjadi, ia bukan lagi bertemakan Allah bersama kita, sebaliknya nafsu bersama kita, dan nama Allah dijadikan alasan. Slogan suci tidak selayaknya dijadikan penawar kosmetik untuk menghilangkan rasa bersalah selepas mengikut kehendak nafsu semata-mata.

Slogan Allah bersama Gen Z tidak sepatutnya sekadar menjadi trend kosmetik yang bermusim atau pelengkap estetik di media sosial. Jadikan ia sebagai kompas di mana sebelum memuat naik sesuatu kandungan dengan slogan ini, tanyalah diri sama ada perbuatan ini diredai Allah atau tidak. Semaikan juga ungkapan ini sebagai zikir dan doa harian yang hidup di dalam sanubari, bukan sekadar di skrin paparan.

Gen Z ialah generasi yang dinamik, kental, dan kreatif. Jika slogan ini dihayati dengan cara yang betul, ia akan melahirkan sebuah generasi yang bukan sahaja cekal mendepani ujian zaman, malah paling dekat hubungannya dengan Allah SWT. Apabila keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama sudah pasak di dalam dada, tiada apa lagi yang mampu menghalang langkah mereka untuk terus menggegar dunia.

*Siti Aishah Zahari merupakan Graduan Univerisiti Mohammed V , Rabat , Maghribi.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved