“Allah dah takdirkan dia pergi dulu”, Adrian Adam reda pemergian abang

LocalFamily & Parenting
24 Feb 2026 • 1:15 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Pemergian Andre Mikhail bukan sekadar meninggalkan luka mendalam buat keluarga pelakon Amyza Aznan, malah menjadi titik perubahan buat adiknya, Adrian Adam yang kini menggalas tanggungjawab sebagai abang sulung dalam keluarga.

Adrian atau nama sebenarnya Andrian Adam Khairil Izhar berkata, kehilangan itu mengajar dirinya erti reda dan kekuatan, terutama ketika dia sendiri sedang berjuang melawan kanser tulang.

Menurutnya, mereka sepatutnya sama-sama menjalani rawatan di wad yang sama, namun perancangan itu tidak kesampaian apabila Allahyarham terlebih dahulu dijemput Ilahi.

“Abang memang bagi saya semangat. Kami sepatutnya sama-sama berada di wad nanti. Tapi Allah dah takdirkan dia pergi dahulu, tak apalah, saya terima.

“Saya reda pemergian abang. Saya anggap ini satu ujian dan takdir. Saya harap Allah merahmati dia dan melindunginya daripada azab kubur serta api neraka.

“Apa pun saya kena kuat untuk keluarga, terutama ibu dan ayah serta adik. Sekarang saya abang sulung,” katanya.

Mengimbas detik akhir bersama arwah, Adrian memberitahu keadaan Andre ketika itu semakin lemah dan kerap berada dalam keadaan mamai.

“Saat terakhir saya bersama dia, arwah seolah-olah di awang-awangan. Bila ditanya, dia macam mengigau. Saya tanya nak makan, dia kata tak nak, mengantuk dan mahu tidur.

“Esoknya dia sedar semula, tetapi saya sudah tiada di situ. Kali terakhir dia bercakap dengan nenek, selepas itu dia nazak,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada pukul 10.45 pagi di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas disolatkan di Masjid Al Khairiah Keramat AU3.

Andre menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.15 malam Isnin di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.

Bagi Adrian, terlalu banyak kenangan bersama arwah untuk diungkapkan, namun dia percaya abangnya mahu dirinya terus tabah dan menjaga keluarga yang ditinggalkan.