
DI sebalik tirai glamor dunia seni, pelakon terkenal, Datin Lisa Surihani sering kali menjadi inspirasi. Terbaru, tular sebuah perkongsian video yang memaparkan persediaan rapi beliau sebelum bergelar hajah, sehingga menjentik emosi ramai.
Melalui video yang dikongsi oleh pengguna TikTok Dr Amirul Hassan di platform TikTok, dia menzahirkan rasa kagum apabila melihat sendiri buku catatan peribadi milik Lisa yang digunakan sebagai persediaan rohani menghadapi hari-hari kemuncak ibadah haji di Tanah Suci.
"Amaze sangat dengan catatan Hajah Lisa Surihani sebagai persediaan rohani beliau sendiri menghadapi hari-hari haji," tulisnya.

Apa yang menarik perhatian, buku nota tersebut bukan sekadar coretan biasa. Helaian demi helaian menunjukkan tulisan tangan yang sangat kemas, lengkap dengan lakaran peta minda, pembahagian fasa ibadah seperti di Arafah dan Muzdalifah, serta strategi pengurusan diri dan emosi sepanjang beribadah.
Malah, ustaz tersebut turut mendedahkan bahawa Lisa bukan sahaja rajin mencatat, tetapi mempunyai kefahaman dan hafalan yang kuat terhadap pengisian ilmu yang disampaikan.
"Banyak doa-doa yang saya kongsikan, dia sendiri aware dan hafal, masya-ALLAH. Dia meminta doa kita agar terus istiqamah dalam beragama," dedahnya memuji kesungguhan pelakon filem Istanbul Aku Datang itu.

Apabila ditanya tentang zikir dan doa-doa yang dicatat, isteri kepada Datuk Yusry Abdul Halim itu mengakui ia adalah hasil daripada beberapa sumber termasuk kuliah.
"Ada kuliah online, ada yang dari kuliah audio. ALLAH bimbing saya.
"Ada doa standard, ada khusus," kongsi Lisa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa terharu dan kagum.
Ramai yang menyifatkan bahawa jemputan menjadi tetamu ALLAH atau duyufurrahman yang diperoleh Lisa adalah asbab daripada kesungguhan luar biasa yang ditunjukkannya.
“Masya-ALLAH, kemas dan tersusun betul nota hajah Lisa Surihani! ALLAH nampak kesungguhan dia, mungkin itulah sebab kenapa dia dijemput awal,” ujar salah seorang netizen.

Dalam pada itu, di sebalik pujian dan rasa kagum orang ramai terhadap persiapan dirinya, Lisa Surihani tetap dengan sifat rendah dirinya. Beliau sempat menitipkan pesanan ringkas namun mendalam, meminta agar orang ramai terus mendoakan urusan kehidupannya dan keluarga.
"Beliau meminta doa kita semua agar terus istiqamah dalam beragama," kongsi ustaz itu di penghujung coretannya.
Kisah persediaan menunaikan ibadah haji Lisa Surihani ini secara tidak langsung membuka mata ramai pihak bahawa ibadah haji bukan sekadar persediaan fizikal dan wang ringgit, tetapi menuntut pengorbanan masa, ketajaman akal, dan jiwa yang benar-benar dahagakan ilmu agama.
Semoga kesungguhannya menjadi suntikan inspirasi. Sekadar info, pelakon Manisnya Cinta di Cappadoccia itu berlepas ke Makkah pada 7 Mei lalu.
Sumber: TikTok



