
TULAR video memaparkan seorang bapa kehilangan anak selepas lori yang dinaikinya terbakar dalam kejadian di Iskandar Halal Park, Cahaya Baru, Pasir Gudang baru-baru ini meruntun hati warganet.
Video tular dikongsi pengguna TikTok _lacost07 memaparkan bapa berkenaan berlari ke arah lori yang sedang terbakar sambil berteriak "Allahuakbar anak aku Ayiss."
Difahamkan, lori tersebut diparkir sementara dan bapa berkenaan dipercayai berjalan ke tapak pembinaan dan dalam tempoh singkat, apabila menoleh ke belakang, api sudah marak.

"Ayah arwah park lori tepi jalan sebab hendak tengok site sebelum masuk. Anaknya (arwah Ayiss) ada dalam cabin.
"Ayah arwah berlari sebab baru tahu lorinya terbakar. Ujian buat mereka sekeluarga. Arwah Ayiss sudah tunggu ibu ayahnya di syurga, al-Fatihah," kongsinya.
Sementara itu, pihak keluarga pula mendakwa bapanya meninggalkan kenderaan berat berkenaan untuk mengalihkan kenderaan terletak tidak jauh dari situ.

"Ayah dia tiada masa kejadian kerana undurkan lori di belakang. Dia tinggalkan anak dalam lori sebentar kerana cuaca panas di luar dan apabila ayahnya patah balik, api sudah marah dan arwah sudah tidak dapat diselamatkan. Saya ahli keluarga arwah," kongsi pengguna Tiktok Muhammad Afiq.
Turut tular video bapa mangsa meraung sambil ditenangkan dua individu di lokasi meruntun hati warganet.
Menurut Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II (TPgB II) Firdaus Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran lori itu pada 10.46 pagi sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran lori tanpa muatan yang terbakar kira-kira 60 peratus di bahagian kepala lori.
"Tindakan awal orang awam menggunakan enam alat pemadam api jenis debu kering serta sebuah jengkaut membawa tanah bagi mengawal api,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, ketika kejadian, seorang kanak-kanak berada di dalam lori berkenaan.
"Kanak-kanak terbabit dipercayai anak kepada pemandu lori berkenaan disahkan rentung dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dari pam jentera sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya," katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.30 tengah hari selepas keadaan disahkan selamat.
Sumber: TikTok, Sinar Harian


