PASIR GUDANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas lori yang dinaikinya terbakar dalam kejadian di Iskandar Halal Park, Cahaya Baru, di sini, pagi Jumaat.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II (TPgB II) Firdaus Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran lori itu pada 10.46 pagi sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran lori tanpa muatan yang terbakar kira-kira 60 peratus di bahagian kepala lori.
**media[3473737]**
"Tindakan awal orang awam menggunakan enam alat pemadam api jenis debu kering serta sebuah jengkaut membawa tanah bagi mengawal api,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, ketika kejadian, seorang kanak-kanak berada di dalam lori manakala pemandu lelaki berjaya menyelamatkan diri.
"Kanak-kanak terbabit dipercayai anak kepada pemandu lori berkenaan disahkan rentung dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu tidak mengalami kecederaan.
"Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dari pam jentera sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya," katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.30 tengah hari selepas keadaan disahkan selamat.
Sementara itu, tular video bapa mangsa meraung sambil ditenangkan dua individu di lokasi.



