
RAWANG: Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros sentiasa menjadi tempat rujukan rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang memerlukan nasihat dan bantuan ketika berada di Korea Selatan.
Rakan baiknya, Muhamad Jalalludin Othman, 35, berkata Allahyarham sering menjadi rujukan kerana fasih bertutur dalam bahasa Korea.
Menurutnya, Allahyarham juga merupakan antara rakyat Malaysia yang telah lama bekerja di negara tersebut.
“Kalau ada orang susah, dia akan bantu. Walaupun orang itu baru dikenalinya, dia tetap cuba menolong sedaya upaya.” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Bandar Tasik Puteri di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Muhammad Jalaludin berkata, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang peramah, ringan tulang dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira sama ada sudah lama atau baru dikenali.
“Bukan saya seorang yang dia tolong. Ramai lagi. Sebab itu ramai orang kenal dia. Kalau ada orang Malaysia baru datang, dia akan bantu.
“Dia juga sering menjadi tempat rujukan rakyat Malaysia di Korea kerana fasih berbahasa Korea dan tahu selok-belok kehidupan di sana,” katanya.
Menurutnya, pemergian Ahmad Shah bukan sahaja kehilangan seorang sahabat, malah insan yang sentiasa mengutamakan kebajikan orang lain.
Terdahulu, jenazah Ahmad Shah selamat dikebumikan kira-kira pukul 10 malam ini di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, Rawang.-UTUSAN
The post Allahyarham Ahmad Shah sering jadi rujukan rakan-rakan di Korea Selatan appeared first on Utusan Malaysia.





