Allahyarham Koperal Mohd Azrul diumum Tokoh Kemerdekaan Selangor

31 Aug 2024 • 8:10 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 31 OGOS: Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran yang terkorban ketika Op Daulat di Lahad Datu pada Mac 2013 diumum sebagai Tokoh Kemerdekaan Selangor 2024.

Anugerah itu disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin kepada ibu Allahyarham, Sadiah Mohd Amin sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi.

image is not available
Azlin Tukiran. Foto FITRI HAZIM/MEDIA SELANGOR

Selain trofi, waris turut menerima wang tunai RM10,000 sebagai penghargaan atas sumbangan luar biasa mempertahankan kedaulatan negara.

Allahyarham yang berasal dari Klang antara enam anggota polis yang maut diserang hendap sekumpulan pengganas di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah

Kakak Allahyarham, Azlin Tukiran, 43, ketika ditemui mengakui masih terkesan dengan tragedi menyayat hati meskipun 11 tahun berlalu, namun berbangga mempunyai seorang adik yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi negara.

“Kami amat amat terharu serta bangga atas pengiktirafan berkenaan yang membuktikan pengorbanan adiknya dihargai oleh kerajaan negeri,” katanya yang membangkitkan lagi rasa rindu terhadap Mohd Azrul yang lebih mesra dipanggil Ayun oleh ahli keluarganya.

image is not available
Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran yang terkorban ketika Op Daulat di Lahad Datu pada Mac 2013 diumum sebagai Tokoh Kemerdekaan Selangor 2024. Foto ihsan keluarga