Alliance Bank, Persada Mentari bekerjasama sokong pemilikan hartanah hijau

Business & FinanceProperty
9 Aug 2023 • 3:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Alliance Bank, Persada Mentari bekerjasama sokong pemilikan hartanah hijau

diyana

09/08/2023 - 15:52

PULAU PINANG 9 Ogos - Alliance Bank Malaysia Berhad dan Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan pembangunan mampan dan kehidupan melalui pemilikan hartanah yang diperakui hijau.

PMSB adalah syarikat tujuan khas yang dibentuk oleh anak syarikat Eastern & Oriental Berhad (E&O), Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TPD) dan anak syarikat Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), KWEST Sdn Bhd.

PMSB merupakan pemaju projek Pulau Andaman yang baru-baru ini telah dianugerahkan Pensijilan Platinum GreenRE sementara tahun ini.

Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, Alliance Bank dan E&O berkata perkongsian tersebut memberikan pemilik rumah akses kepada Pakej Pembiayaan Gadai Janji Hijau bank terbabit untuk membeli hartanah di Pulau Andaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata kerjasama dengan E&O memperkukuh komitmen bank bagi memupuk komuniti dan alam sekitar yang mampan.

“Kami memperluaskan jejak kami dalam segmen pengguna dan menawarkan pembiayaan hartanah hujung ke hujung melalui kerjasama seperti ini, yang memudahkan akses pemilik rumah kepada Pakej Pembiayaan Gadai Janji Hijau kami.

“Selain itu, kerjasama ini membuka jalan baharu untuk kami mengembangkan cadangan hijau bank di wilayah utara, salah satu pasaran sasaran utama kami yang dikenal pasti di bawah strategi baharu Acceler8 Bank,” ujar beliau.

Selaras dengan matlamat kemampanan Alliance Bank, ia menyasarkan untuk mencapai RM10 bilion dalam perniagaan perbankan mampan baharu menjelang tahun kewangan 2025 sambil mengurangkan pelepasan gas rumah hijaunya.

Menurut bank itu, ia berada di landasan yang betul ke arah mencapai sasarannya, setelah merekodkan RM8.1 bilion dalam perniagaan perbankan mampan baharu setakat 31 Mac 2023.

“Perkongsian dengan Alliance Bank untuk menawarkan Pakej Pembiayaan Gadai Janji Hijau adalah bermanfaat untuk semua orang bergerak ke arah membina masa depan yang lebih hijau.

“Ia mewakili satu inisiatif untuk memperkasakan pembeli rumah untuk melabur atau tinggal di rumah yang mampan dan mesra alam,” tambah Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong. - DagangNews.com