Alpha IVF buka klinik satelit kedua di Indonesia, luaskan akses rawatan kesuburan untuk pasaran serantau

LocalBusiness & Finance
23 Jul 2025 • 2:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Alpha IVF buka klinik satelit kedua di Indonesia, luaskan akses rawatan kesuburan untuk pasaran serantau

image is not available

23/07/2025 - 14:49

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai – Alpha IVF Group Bhd terus mengembangkan pasaran serantaunya dengan membuka klinik satelit kedua di Surabaya, Indonesia untuk meningkatkan akses kepada rawatan kesuburan di negara itu.

Pembukaan klinik baharu itu adalah sebahagian daripada pelan pengembangan syarikat selepas penyenaraian awam (IPO), yang merancang untuk menubuhkan empat klinik satelit di Indonesia kerana ia adalah pasaran luar negara yang menunjukkan pertumbuhan paling pesat bagi kumpulan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo berkata, klinik baharu itu beroperasi dalam Womba Women’s and Children Specialist Clinic yang akan menjadi pusat rujukan dan koordinasi pesakit untuk konsultasi awal serta penilaian kesuburan sebelum dirujuk ke pusat utama Alpha IVF di Malaysia bagi rawatan selanjutnya.

"Pembukaan cawangan di Surabaya adalah strategi kami untuk meluaskan capaian ke kawasan Jawa Timur dan Tengah yang menunjukkan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan kesuburan.

“Kejayaan klinik satelit pertama kami di Jakarta dalam tempoh kurang tiga bulan memberi keyakinan terhadap keberkesanan model satelit ini. Kami percaya Surabaya akan terus memperkukuh rujukan pesakit ke pusat utama kami di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Klinik satelit pertama di Jakarta, yang mula beroperasi pada Mei 2025, telah menghantar 29 pasangan ke pusat rawatan di Malaysia dalam masa kurang tiga bulan, menunjukkan keberkesanan strategi rentas sempadan yang dilaksanakan kumpulan itu.

Alpha IVF menjangkakan dua klinik satelit di Indonesia itu akan menyumbang kepada pertambahan ketara jumlah pesakit rentas sempadan serta pertumbuhan hasil kumpulan.

Alpha IVF kini beroperasi di Malaysia, Singapura, Indonesia dan China, dengan tumpuan kepada Perkhidmatan Bantuan Reproduktif (ARS), khususnya rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

Di Malaysia, kumpulan ini mengendalikan empat pusat pakar termasuk Alpha KL dan Genesis di Pulau Pinang, serta satu pusat pakar di Singapura, Alpha Singapore.

Selain IVF, kumpulan ini turut menyediakan pelbagai rawatan lain seperti suntikan sperma secara intracytoplasmic, inseminasi intrauterin, ujian diagnostik dan pemeriksaan genetik, serta teknologi cryopreservation Cyrotec®.

Diasaskan pada 2011, Alpha IVF terkenal dengan kadar kejayaan kehamilan yang tinggi, hasil pendekatan bersepadu melalui sistem lima teras strategik yang meliputi pakar perubatan terkemuka, embriologis mahir, penyelidikan dan pembangunan berterusan, teknik inovatif serta makmal berteknologi tinggi.

Kumpulan ini turut diiktiraf secara global, termasuk sebagai Pusat Kesuburan Terunggul Asia 2024 oleh majalah Newsweek dan penerima Anugerah Inovasi Teknologi Tahun Ini – Malaysia oleh Healthcare Asia.

Alpha IVF kini juga menjadi pusat rawatan kesuburan pertama yang disahkan sebagai Certified AI Centres menerusi penggunaan penyelesaian AI untuk rawatan ketidaksuburan lelaki oleh LensHooke, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju inovasi dalam bidang teknologi kesuburan. - DagangNews.com

standard