Altimet Penat, Mahu Tidur Selepas Semua Selesai 

Politics
12 Aug 2023 • 10:03 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Altimet ketika beratur di luar pusat mengundi - gambar X

KUALA LUMPUR – Kempen pilihan raya dan aktiviti yang disusun amat memenatkan dan hakikat itu diakui calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya. 

Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet selamat menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat pagi tadi. 

Bertanding di bawah panji Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), penyanyi rap dan komposer itu berkongsi foto di aplikasi X, malah sempat bergambar bersama seorang pengundi lain yang bakal melangsungkan pernikahan hari ini. 

“Adik ini sudah menjalankan tanggungjawabnya (untuk mengundi) dan akan memikul satu lagi amanah di bahunya (sebagai suami). Semoga majlis berjalan lancar dengan sekali lafaz,” katanya, merujuk kepada upacara akan nikah yang akan dilalui pemuda terbabit. 

Altimet ketika ditemui media mengakui beliau amat letih selepas berkempen tanpa henti sejak 14 hari lalu. 

“Sejujurnya, saya letih. Selepas ini, saya mungkin akan tidur seharian,” katanya.  

Beliau turut meluahkan harapan agar orang ramai keluar menunaikan tanggungjawab dan hak sebagai pengundi, iaitu memilih pemimpin dikehendaki. 

“Saya rasa penduduk Selangor cukup rasional dalam hal ini,” katanya. 

Pelantun lagu Aku Kaya itu berdepan cabaran Sharifah Haslizah Syed Ariffin dari Perikatan Nasional (PN). - Getaran, 12 Ogos 2023