Alumni UPSI Cikgu Anita Yusof kongsi inspirasi, serah kembali bendera universiti

19 Feb 2026 • 9:00 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Alumni UPSI Cikgu Anita Yusof kongsi inspirasi, serah kembali bendera universiti
Anita bergambar ketika menyerahkan bendera UPSI kepada Md Amin pada Program Alumni Talk dan Majlis Penyerahan Bendera di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah. Photo credit: Fisol Ahmad

TANJONG MALIM, 13 Februari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Alumni Talk dan Majlis Penyerahan Bendera melibatkan alumni tersohor, Cikgu Anita Yusof, dalam satu acara yang sarat dengan nilai inspirasi, keberanian dan jati diri warga pendidik.

Majlis yang berlangsung di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah itu disempurnakan Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff yang menyifatkan kehadiran Anita bukan sekadar perkongsian pengalaman, malah simbol ketahanan dan semangat luar biasa seorang guru serta alumni universiti berkenaan.

Md Amin berkata, nama Anita Yusof melambangkan keberanian dan keazaman tinggi, selari dengan prinsip bahawa sempadan kejayaan hanya wujud dalam minda.

“Beliau bukan sahaja seorang guru, malah wirawati yang membuktikan ketabahan apabila merentas lebih 81 negara dan menakluki lima benua dengan menunggang motosikal. Kejayaan ini bukan sekadar rekod peribadi, tetapi manifestasi semangat ‘Ibu Kandung Suluh Budiman’ yang dibawa ke seluruh dunia,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Menurut beliau, pencapaian Anita turut mencerminkan keupayaan alumni UPSI mengharumkan nama universiti di pentas antarabangsa, sekali gus menjadi kebanggaan warga kampus.

“Bendera ini adalah saksi bisu kepada ketabahan, keringat dan doa seorang alumni yang ingin melihat nama universiti berkibar di tanah asing. Ia melambangkan bahawa sejauh mana pun langkah seorang anak kandung UPSI, hati dan jiwanya tetap terikat pada universiti ini,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam sesi perkongsian, Anita berkata perjalanan akademiknya di UPSI menjadi titik perubahan penting dalam kehidupannya, meskipun beliau memulakan pengajian pada usia yang lebih matang berbanding kebiasaan mahasiswa lain.

Beliau yang mengikuti jurusan Pendidikan Sains Sukan berkata pengalaman di universiti bukan sahaja membentuk kefahaman akademik, malah membuka perspektif baharu tentang dunia dan potensi diri.

Anita turut berkongsi bahawa keberanian untuk mengembara bermula ketika masih bergelar mahasiswa, apabila beliau melakukan perjalanan backpacking solo ke Eropah.

“Perjalanan backpacking pertama saya lakukan semasa semester tiga di UPSI. Saya ke Eropah secara solo dan mengunjungi 10 negara. Pengalaman itu banyak mengajar saya tentang keyakinan diri, perancangan dan keberanian membuat keputusan.

Beliau juga menekankan bahawa cabaran sepanjang pengembaraan global, termasuk berdepan kesukaran di sempadan negara, masalah komunikasi dan situasi tidak dijangka, memerlukan kebijaksanaan serta keupayaan menyesuaikan diri.

“Dalam banyak situasi sukar, bukan kekayaan atau kedudukan yang paling penting, tetapi survival intelligence tentang bagaimana kita berfikir dan bertindak untuk keluar daripada masalah,” katanya.

Anita berkata keupayaan tersebut sebahagiannya dipupuk melalui pengalaman Pendidikan Luar yang dilaluinya ketika menuntut di UPSI.

“Program Pendidikan Luar banyak membina daya tahan dan kebolehan menyelesaikan masalah. Ia memberi asas penting dalam menghadapi pelbagai situasi mencabar sepanjang kembara saya,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan detik istimewa apabila Anita menyerahkan kembali bendera UPSI yang dibawa sepanjang pengembaraan globalnya, suatu simbolik hubungan erat antara alumni dan alma mater.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.