Tanjung Malim - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah baharu dalam misi pengantarabangsaan apabila menjadi universiti awam pertama yang tampil menyantuni dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Pidie Jaya, Banda Aceh.
Langkah proaktif ini dijayakan menerusi gabungan strategik dua entiti utama universiti iaitu Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dan Pusat Alumni UPSI yang menggabungkan misi pengantarabangsaan akademik serta program Kembara Santuni Alumni Antarabangsa di wilayah Aceh yang melabuhkan tirainya semalam.
Timbalan Dekan FPM, Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan berkata inisiatif ini adalah manifestasi keprihatinan seluruh warga UPSI terhadap nasib saudara serumpun yang masih dalam fasa pemulihan pasca musibah
Kehadiran delegasi UPSI disambut dengan penuh rasa syukur oleh penduduk, katanya, memandangkan sumbangan berupa pek keperluan asas harian itu diserahkan terus kepada keluarga yang terjejas bagi meringankan beban kelangsungan hidup mereka khususnya sebagai persiapan menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba.
Menurut beliau kehadiran mereka sebagai universiti pertama yang menjejakkan kaki ke kawasan ini untuk misi bantuan adalah satu tanggungjawab bagi memastikan saudara di situ tidak terpinggir daripada menerima sokongan moral dan material.
Manakala dalam sesi berasingan yang berlangsung di Universitas Syiah Kuala (USK) menyaksikan keprihatinan UPSI apabila menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM10,000 khusus buat bekas pelajar universiti tersebut.
Katanya, sumbangan tersebut diagihkan kepada alumni yang terkesan akibat bencana bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh mereka.
Selain itu, delegasi UPSI turut memanfaatkan keberadaan di USK sepanjang lima hari lawatan untuk menjayakan rangka kerja akademik menerusi penganjuran Seminar Internasional bertemakan Menguatkan Fitrah Anak Usia Dini Melalui Konseling dengan kerjasama Himpunan Mahasiswa Bimbingan dan Konseling( HIMA BK) dan HIMA PAUD (Pendidikan Anak Usia Dini), Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP).
Seminar ini menjadi platform strategik bagi mempromosikan program pascasiswazah UPSI dalam usaha menarik minat lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar Indonesia melanjutkan pengajian di Tanjung Malim.

Sementara itu Pusat Alumni UPSI meneruskan agenda memperkasakan jaringan menerusi sesi pertemuan bersama 45 alumni UPSI yang kini berkhidmat di Aceh bagi tujuan pengemaskinian data profil kerjaya dan pangkalan data alumni.
Delegasi turut mengadakan sesi Ziarah Kasih ke Sekolah Dasar Islam Terpadu (SDIT) Bayyinah Tahfizul Qur'an yang menyingkap pencapaian membanggakan apabila mendapati institusi pendidikan tersebut dimiliki dan ditadbir sepenuhnya oleh alumni UPSI sekali gus membuktikan kualiti kemenjadian graduan UPSI di pentas antarabangsa.
Beliau berkata sinergi antara FPM dan Pusat Alumni dalam misi itu membuktikan UPSI mampu bergerak sebagai satu pasukan yang ampuh dalam mengimbangkan peranan menarik kemasukan pelajar antarabangsa serta menyantuni kebajikan komuniti serantau menjelang bulan mulia, Ramadan.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)





