
WARGA Hospital Sultanah Nur Zahirah sekali lagi menjadi saksi sebuah kisah pengorbanan yang menyentuh hati. Pemergian insan berhati mulia, Allahyarham Muhammad Syukri Bazli yang tampil sebagai penderma organ tular menjadi inspirasi dan dalam masa yang sama mengundang air mata.
Arwah yang menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung bukan sekadar seorang bapa kepada tiga cahaya mata, malah kisahnya lebih meruntun jiwa apabila diketahui salah seorang anaknya merupakan golongan OKU.
Lebih memilukan, detik-detik terakhir Allahyarham yang disahkan mati otak dibawa ke dewan pembedahan. Video tular walk of honor daripada kaki tangan hospital mengundang pilu dan doa warganet.
Difahamkan, antara organ yang telah didermakan adalah hati, buah pinggang, tulang (dari pinggul ke buku lali bagi kedua-dua belah kaki) dan kulit pada bahagian belakang badan.

Memetik portal berita tempatan, sebelah buah pinggang Allahyarham telah dihantar ke Hospital Selayang, satu lagi buah pinggang dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Manakala organ hati telah di hantar ke Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur. Ketiga-tiga organ ini dihantar menggunakan helikopter sejurus selepas pembedahan dijalankan.
Sementara itu, aktivis masyarakat, Ahmad Nazrul dalam perkongsiannya di Facebook memaklumkan Allahyarham memiliki seorang cahaya mata yang disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
"Allahyarham Syukri Bazli penderma organ keempat untuk tahun 2026 di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
"Arwah merupakan penderma organ dan proses pemindahan organ telah dijalankan pada pagi tadi dan selesai sepenuhnya pukul 1 tengah hari tadi.
"Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Peroh, Ajil pukul 9.30 malam tadi. Arwah meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Salah seorang anak arwah adalah OKU," titipnya.

Memetik Sinar Harian, pemergian Allahyarham adalah mengejut. Muhammad Syukri yang terdahulu mengalami simptom gastrik selama lima hari tiba-tiba rebah di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke klinik di Wakaf Tapai bersama ibu bapanya, 6 petang Selasa lalu.
Selepas diberikan bantuan pernafasan, arwah dipindahkan ke wad neuro dan seterusnya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.
Bagaimanapun, Muhammad Syukri yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran tomyam berhampiran Hospital Hulu Terengganu disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.06 tengah malam tadi.
Bapa saudaranya, Azlan Yahya, 58, bagi pihak keluarga berkata, keputusan mendermakan organ bukan mudah.

"Bukan satu keputusan yang mudah untuk kami lakukan, tetapi memandangkan ada keperluan untuk menyelamatkan nyawa insan lain, kami reda," katanya.
Biarpun perit menerima kenyataan, ahli keluarga termasuk ibu bapa dan isteri arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli, 32 sepakat untuk membenarkan proses pendermaan organ dilakukan memandangkan usia arwah yang masih muda.
"Kami pasti akan merindui kehadirannya setiap kali perjumpaan keluarga. Arwah meninggalkan seorang isteri yang juga suri rumah sepenuh masa demi menjaga anak sulung mereka yang merupakan anak istimewa (autisme).
"Walaupun dia tiada sejarah penyakit kronik, sifatnya yang sentiasa rela berkhidmat kepada orang lain membuatkan kami memutuskan untuk meneruskan pendermaan organ ini sebagai amal jariah terakhirnya," tambah Azlan.
Pemergian Syukri mungkin satu kehilangan besar buat keluarga, namun pengorbanannya memberi sinar baharu kepada mereka yang memerlukan. Ia adalah satu kisah yang mengingatkan bahawa amal jariah seorang insan masih boleh terus mengalir dan memberi kehidupan walaupun jasadnya telah tiada.
