Sifat Suka Membantu Jadi Sebab Keluarga Arwah Muhammad Syukri Teruskan Proses Pendermaan Organ [Video]

LocalHealth & Fitness
27 Apr 2026 • 11:48 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Sifat Suka Membantu Jadi Sebab Keluarga Arwah Muhammad Syukri Teruskan Proses Pendermaan Organ [Video]

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak semalam (26 April), tular di media sosial perkongsian video Walk of Honor yang berlangsung di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu buat penderma oragan, Allahyarham Muhammad Syukri Bazli.

Menerusi video tular, kelihatan petugas kesihatan memberi penghormatan kali terakhir buat Allahyarham yang berusia 31 tahun itu atas jasanya yang menderma organ.

Video itu nyata mendapat perhatian hingga ramai termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kasim yang tersentuh malah mengagumi keperibadian Allahyarham serta keluarganya yang sanggup membantu orang lain memerlukan.

View on Threads

Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Syukri, anaknda kepada Bazli Kg Tok Dor, yang telah menghembuskan nafas terakhir…

Posted by Ustaz Maliaman Kassim – Official on Saturday 25 April 2026

Malah, Bahagian Jabatan Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menerusi satu hantaran di Facebook turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih buat penderma, keluarga serta semua petugas kesihatan yang terlibat dalam menjayakan kerja pemindahan organ terbabit.

Sebuah Amal Terakhir yang Sangat Mulia Pada hari ini, 26 April 2026, kita sekali lagi dipertemukan dengan satu…

Posted by Bahagian Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu on Sunday 26 April 2026

Keluarga Sifatkan Pendermaan Organ Bukan Satu Keputusan Mudah, Mahu Selamatkan Nyawa Insan Lain

Mengulas lanjut mengenai proses pendermaan organ ini, bapa saudara kepada Allahyarham, Azlan Yahya menjelaskan ia bukanlah satu keputusan yang mudah.

Namun dek kerana memikirkan ada orang lain lebih memerlukan menyebabkan mereka sekeluarga sepakat untuk membenarkannya.

“Bukan satu keputusan yang mudah untuk kami lakukan, tetapi memandangkan ada keperluan untuk menyelamatkan nyawa insan lain, kami reda,” kata Azlan yang dipetik dari Sinar Harian.

Meskipun hiba dengan pemergian Muhammad Syukri yang merupakan bapa kepada tiga orang cahaya mata, namun seluruh ahli keluarga termasuk isteri arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli serta ibu bapa bersetuju untuk mendermakan organ milik arwah memandangkan usianya juga masih muda.

Keperibadian Arwah Suka Membantu Jadi Sebab Keluarga Teruskan Pendermaan Organ Sebagai Amal Jariah Terakhir

Malah, Azlan turut menyifatkan Muhammad Syukri sebagai seorang yang sangat penyayang, periang serta ringan tulang membantu keluarga.

Bukan itu sahaja, arwah tidak pernah meninggikan suara terhadap anak-anaknya yang masing-masing berusia satu, tiga dan enam tahun.

​”Kami pasti akan merindui kehadirannya setiap kali perjumpaan keluarga. Arwah meninggalkan seorang isteri yang juga suri rumah sepenuh masa demi menjaga anak sulung mereka yang merupakan anak istimewa (autisme).

​”Walaupun dia tiada sejarah penyakit kronik, sifatnya yang sentiasa rela berkhidmat kepada orang lain membuatkan kami memutuskan untuk meneruskan pendermaan organ ini sebagai amal jariah terakhirnya,” tambah Azlan.

Arwah Sakit Gastrik Selama 5 Hari Sebelum Rebah

Menceritakan detik kejadian, arwah yang merupakan seorang tukang masak dan anak kedua daripada lima beradik itu mengalami sakit gastrik selama lima hari sebelum tiba-tiba rebah di dalam kereta.

Kejadian berlaku ketika Muhammad Syukri sedang dalam perjalanan menuju ke klinik di Wakaf Tapai pada petang Selasa (21 April) lalu bersama ibu bapanya.

​”Arwah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Wakaf Tapai sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Hulu Terengganu sekitar jam 6 petang.

“Selepas diberikan bantuan pernafasan, arwah dipindahkan ke wad neuro dan seterusnya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ,” kongsinya.

Walau bagaimanapun, Muhammad Syukri disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada jam 12.06 tengah malam, 26 April dan dibawa ke bilik bedah untuk penuaian organ kira-kira jam 5 pagi.

Allahyarham kemudiannya selamat dikebumikan semalam di Tanah Perkuburan Kampung Peroh, Ajil 9.30 pada malam tadi (26 April).

Buah Pinggang, Hati & Tulang Antara Organ Yang Diambil Untuk Didermakan

Memetik Harian Metro, pihak hospital menjelaskan antara organ Muhammad Syukri yang diambil untuk didermakan adalah buah pinggang, hati, tulang dan kulit buat pesakit yang melecur teruk atau menjalani pembedahan rekonstruktif.

Menurut bapa arwah yang dikenali sebagai Bazli Yahya yang juga mesra disapa sebagai Tok Li, organ anaknya telah dihantar ke Kuala Lumpur untuk dipindahkan kepada tiga pesakit lain dan dibawa menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Organ itu telah dihantar ke Kuala Lumpur untuk dipindahkan kepada tiga pesakit lain. Ia dibawa menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Wakaf Tapai ke Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, sedikit sebanyak arwah anak Pok Li dapat menyumbang kepada masyarakat. Pok Li berharap masyarakat dapat mempertimbangkan perkara ini demi kebaikan orang lain,” katanya yang dipetik dari RTM.

Difahamkan, satu buah pinggang Allahyarham telah dihantar ke Hospital Selayang, satu lagi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala organ hati ke Hospital Tuanku Azizah, Kuala Lumpur.

Baca Artikel Berkaitan: Ikrar Derma Organ Satu Tindakan Murni Dan Mampu Selamatkan Nyawa

Baca Artikel Berkaitan: Bapa Tekad Berhenti Merokok Demi Derma Buah Pinggang Kepada Anak Buat Ramai Tersentuh [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Kerana Cinta, Lelaki Sanggup Derma Buah Pinggang Buat Isteri Tersayang