Amanah tolak budaya ‘abang besar’

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 1:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Amanah tolak budaya ‘abang besar’

KOTA BHARU: kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan mana mana-mana parti politik, termasuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelak tidak boleh dicemari budaya ‘abang besar’.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, parti itu terbuka untuk bekerjasama namun perlu disertai sikap saling menghormati, khususnya dalam soal pengagihan kerusi dan kedudukan antara parti-parti terlibat.

Katanya, tiada mana-mana pihak seharusnya mengambil pendekatan untuk menguasai atau mendominasi rakan kerjasama politik.

“Kita sanggup bekerjasama dengan mereka yang sanggup bekerjasama dengan kita dan jangan ada budaya ‘abang besar’. Jangan ada pendekatan hendak menguasai atau mendominasi.

“Kalau sanggup bekerjasama, mesti sanggup memberikan jumlah kerusi dan kedudukan sewajarnya,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), di sini hari ini.

Khalid berkata, Amanah bersama PH bukan sebuah gabungan yang sanggup didominasi oleh mana-mana pihak seperti yang dilihat berlaku dalam hubungan Pas dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, prinsip pengagihan kerusi secara sama rata adalah antara perkara penting dalam menjayakan sesebuah kerjasama politik.

“Yang sanggup didominasi adalah Pas. Bagi PH, kita tidak sanggup didominasi. Jadi kalau ada 28 kerusi, maka seharusnya pengagihan adalah 14-14,” ujarnya.

Mengulas kemungkinan penggabungan BN dan PN pada PRN Melaka, Khalid tidak menyangkal keadaan itu akan menimbulkan cabaran kepada PH dengan mengambil kira keputusan PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.

Katanya, beliau bimbang elemen politik identiti berbanding politik nilai akan kembali menunjangi suasana PRN itu.

Ujarnya, pendekatan tersebut tidak sihat kerana boleh membataskan kesanggupan sesebuah pihak untuk menegur kelemahan tatakelola termasuk dalam isu berkaitan Laporan Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji baru-baru ini.

“Politik identiti ini adalah berdasarkan kerjasama kerana satu bangsa dan agama semata-mata, tanpa wawasan berteraskan nilai-nilai tertentu. Maka apa sahaja yang berlaku selepas itu, tiada siapa boleh komen sebab yang penting, Melayu berkuasa. Bila berlaku RCI Tabung Haji, mereka tidak sanggup menegur kerana sama bangsa, sama agama,” katanya. – UTUSAN

 

 

The post Amanah tolak budaya ‘abang besar’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved