Hubungan BN & PN Tambah Tekanan Terhadap Kerjasama Dengan PH - KJ

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 8:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Hubungan BN & PN Tambah Tekanan Terhadap Kerjasama Dengan PH - KJ

KUALA LUMPUR - Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal  memberi tekanan lebih besar terhadap hubungan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH).

Menegaskan perkara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kerjasama berkenaan mencetuskan ketegangan paling ketara antara BN dan PH sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 2022, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan kerjasama kedua-dua gabungan berkenaan.

Bercakap menerusi podcast Keluar Sekejap, bekas Menteri Kesihatan itu berkata, BN dan PH mempunyai tafsiran berbeza berhubung skop kerjasama yang dipersetujui sebelum ini.

Katanya, PH berkemungkinan melihat kerjasama BN dengan PN dalam PRN Negeri Sembilan sebagai satu bentuk pengkhianatan, manakala BN pula boleh berhujah bahawa persefahaman dengan PH hanya melibatkan kerjasama di peringkat Persekutuan.

“PH akan melihatnya sebagai satu pengkhianatan. BN pula akan mengatakan mereka hanya bersetuju untuk bekerjasama di peringkat Persekutuan dan itu tidak bermakna mereka terikat untuk bekerjasama selama-lamanya,” katanya.

Dalam PRN Negeri Sembilan, gabungan BN-PN memenangi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memperoleh baki 11 kerusi.

Khairy berkata, perkembangan itu kini mengalihkan perhatian kepada langkah BN seterusnya, khususnya sama ada gabungan berkenaan akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, kerajaan secara teknikal masih mampu bertahan tanpa sokongan BN, namun kedudukannya akan menjadi lebih sukar sekiranya kehilangan sokongan beberapa lagi Ahli Parlimen.

Beliau turut mengambil kira perkembangan politik terbaharu, termasuk keputusan bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, meninggalkan PKR untuk menyertai Bersama, sebuah parti yang diasaskan dua bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Khairy turut menyebut kehadiran Ahli Parlimen Ampang daripada PKR, Rodziah Ismail, dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, pada pelancaran Bersama, selain spekulasi mengenai beberapa Ahli Parlimen dari Sabah.

“Dengan perkembangan ini, jumlah sokongan boleh terus mengecil. Mungkin kelebihan kini berada di pihak Zahid,” katanya.

Sementara itu, Khairy menjangkakan DAP akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan meskipun parti itu bakal mengadakan pengundian dalaman bagi menentukan sama ada perlu menarik diri daripada kerajaan sebelum tamat tempoh pentadbiran semasa.

Beliau berkata, perwakilan DAP dijangka mengambil kira kesan sekiranya parti itu meninggalkan Putrajaya, termasuk kebimbangan terhadap kestabilan politik serta keupayaan parti menunjukkan pencapaian sebelum PRU akan datang.

“Tindakan keluar daripada kerajaan boleh dilihat sebagai pendirian berprinsip, namun parti itu mungkin membuat pertimbangan bahawa kekal dalam kerajaan lebih menguntungkan dari segi kepentingan politiknya,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa terdapat pemimpin DAP yang mungkin keberatan untuk melepaskan jawatan menteri yang disandang.

“Ada yang sejak awal tidak pernah mengambil berat mengenai jawatan menteri, tetapi ada juga pemimpin DAP yang menikmati kedudukan sebagai menteri,” katanya. - Getaran, 14 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved