Amanah umum senarai calon PRN Isnin ini

Politics
20 Jul 2023 • 1:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamad (tengah) merasmikan Pejabat PPK Klang pada Khamis.

KLANG - Parti Amanah Negara (Amanah) bakal mengumumkan senarai penuh calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) pada Isnin ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengumuman calon itu akan dilakukan serentak bagi enam negeri yang akan mengadakan PRN pada 12 Ogos depan.

Bagaimanapun pemimpin tertinggi Amanah itu tidak mendedahkan lokasi dan masa pengumuman tersebut akan dibuat.

"Tempat (pengumuman) belum tahu lagi, belum dipilih," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Klang di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim mengesahkan parti itu akan bertanding sembilan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.