AmanahRaya REIT, Kolej Universiti Alfa tandatangani perjanjian sewaan hartanah di Subang Jaya

Business & FinanceProperty
18 Jul 2024 • 4:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AmanahRaya REIT, Kolej Universiti Alfa tandatangani perjanjian sewaan hartanah di Subang Jaya

herman

18/07/2024 - 16:13

KUALA LUMPUR 18 Julai - AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) menandatangani perjanjian penyewaan jangka panjang dengan ALFA International College Sdn Bhd (Alfa) untuk hartanahnya di Subang Jaya.

Hartanah ini terletak di kawasan perniagaan komersial di USJ1, kira-kira 15 kilometer barat daya pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Bangunan 12 tingkat itu dibina khas untuk tujuan pendidikan dan adalah pegangan bebas dengan keluasan tanah 51,957 kaki persegi dan keluasan sewa bersih 131,387 kaki persegi.

Perjanjian yang ditandatangani Pemegang Amanahnya, Pacific Trustees Berhad dengan Alfa bertepatan dengan tamatnya perjanjian penyewaan dengan Kolej Segi pada 28 Februari 2024.

Perjanjian penyewaan dengan Alfa merangkumi tempoh sewaan selama 18 tahun pada pengaturan sewaan bersih dan dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.

Pengarah Urusan AmanahRaya Kenedix REIT Sdn Bhd yang merupakan Pengurus kepada AmanahRaya REIT, Tunku Rozita Tunku Abdul Malek berkata, pihaknya sangat teruja untuk mengalu-alukan Alfa sebagai penyewa jangka panjang baharu.

"Reputasi mereka sebagai institusi pendidikan yang berkualiti adalah sejajar dengan visi kami.

"Kami yakin ia akan menyumbang dengan ketara kepada kejayaan hartanah ini serta meningkatkan pendapatan harta bersih AmanahRaya REIT.

"Hartanah itu dijangka menjana aliran pendapatan yang konsisten dengan pengembalian sewa positif setiap tiga tahun, yang akan memberi manfaat kepada Pemegang Unit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tunku Rozita menambah, AmanahRayaREIT ingin terus mengekalkan aset tersebut sebagai asas pendidikan dan sumbangan kepada elemen sosial serta pada masa yang sama melaksanakan strategi pengagihan semula aset untuk meningkatkan Agihan Seunit (DPU) dan harga saham.

Sehingga kini, AmanahRaya REIT menyelia portfolio merangkumi 11 hartanah di seluruh negara, meliputi sektor pendidikan, pejabat, perindustrian, peruncitan, hospitaliti dan kesihatan. - DagangNews.com