

AmanahRaya Trustees Berhad Salur Lebih RM1 Juta Zakat Bantu Golongan Asnaf Sekitar Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, 20 September 2024 – AmanahRaya Trustees Berhad (ART), anak syarikat milik penuh Amanah Raya Berhad hari ini telah menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2023 berjumlah lebih RM1 juta kepada Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ART, Zainudin Suhaimi kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman. Penyerahan tersebut disaksikan oleh Pengerusi Amanah Raya Berhad, Tan Sri Idrus Bin Harun diiringi oleh Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Ahmad Feizal Sulaiman Khan dan Pengerusi ART, Dato’ Professor Dr. Noor Inayah Ya’akub.

Dato Professor Dr. Noor Inayah Ya’akub dalam ucapan aluannya berkata, ‘agihan zakat ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat di mana keuntungan pendapatan yang diperoleh dapat dikongsi dengan golongan yang memerlukan.

Adalah diharapkan agar bantuan kewangan tersebut dapat meringankan beban, membantu memperbaiki dan mempertingkatkan kesejahteraan golongan asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan.’
Tambah beliau, ART telah mencatatkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2023 dengan peningkatan keuntungan lebih 21 peratus berbanding tahun 2022.
The post AmanahRaya Trustees Berhad Salur Lebih RM1 Juta Zakat Bantu Golongan Asnaf Sekitar Wilayah Persekutuan appeared first on Siakap Keli.


