
PETALING JAYA – Pengembalian semula kuota subsidi petrol RON95 menerusi Budi95 kepada 300 liter sebulan antara harapan yang disuarakan rakyat menjelang amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini.
Amanat tersebut bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada pukul 3 petang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook sebelum ini berkata, amanat itu akan menyentuh kebimbangan dan kehidupan rakyat, serta tanggungjawab generasi hari ini dalam menghargai kemerdekaan negara.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai berharap kerajaan mempertimbangkan semula kuota subsidi petrol yang sebelum ini membolehkan rakyat menikmati subsidi sehingga 300 liter sebulan.
Menurut mereka, pengembalian kuota tersebut dapat membantu golongan yang menggunakan kenderaan secara aktif, khususnya bagi urusan perjalanan jauh, bekerja serta mencari rezeki.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan ada dalam kalangan rakyat yang terpaksa menangguhkan perjalanan pulang ke kampung hujunggu minggu ini kerana kehabisan kuota subsidi petrol dan tidak mahu terbeban dengan kos pengisian bahan api tanpa subsidi.
Sebelum ini, seorang pekerja swasta, Azrul Abdul Rahman, 40, berkata, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung pada awal bulan depan bagi menjimatkan kos petrol selepas kuota subsidinya habis digunakan untuk keperluan ulang-alik bekerja.
Selain isu subsidi petrol, ada juga pengguna berharap kerajaan mengumumkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100 secara sekali beri kepada seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas.
Bagaimanapun, harapan itu timbul selepas Kementerian Kewangan sebelum ini menafikan dakwaan tular bahawa bantuan Sara RM100 akan diberikan kepada semua rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan tahun ini.
Pada 31 Ogos 2025, kerajaan pernah mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas menerusi program Sara, yang boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas.
Dalam pada itu, antara harapan lain yang turut dibangkitkan pengguna media sosial termasuk pengurangan kos sara hidup, kawalan harga barangan, bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta penambahbaikan sistem pengangkutan awam.
“PMX (Anwar), moga ada usaha kerajaan kawal harga barang, harga jualan kumpulan peniaga. Makin lama makin ramai ambil kesempatan jual mahal dari harga sepatutnya,” kata Syafiq.
Tidak kurang juga yang berharap kerajaan mengumumkan inisiatif berkaitan peluang pekerjaan dan kenaikan pendapatan, penyelesaian isu perumahan mampu milik, kemudahan kesihatan serta bantuan khusus kepada golongan belia dan keluarga muda.
“Mohon semak sekali isu klinik kesihatan awam, hospitak kerajaan dipenuhi warga asing. Sangat tidak selesa untuk kami warga tempatan nak dapatkan rawatan kesihatan.
“Kawasan kemudahan awam yang dijadikan ruang berkelah warga ssing juga patut dikekang, dan tolong la wahai Perdana Menteri untuj perbanyakan rumah mampu bilik pasangan baru berkahwin terutama di kawasan bandar-bandar utama. Kami ke bandar kerana peluang kerja, tapi peluang memiliki rumah sangat tidak ada,” cadang Aien. – KOSMO! ONLINE
The post Amanat PM: Rakyat harap kuota subsidi petrol kembali 300 liter appeared first on Kosmo Digital.


![[INFOGRAFIK] PM umum enam ikhtiar untuk rakyat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/08/30/3631402.webp)



