
PETALING JAYA: Pelakon, Amar Baharin berkongsi khabar gembira apabila isterinya, Amyra Rosli selamat melahirkan cahaya mata ketiga, semalam.
Menerusi perkongsian di Instagram, Amar meluahkan rasa syukur apabila proses kelahiran berjalan lancar selain memaklumkan keadaan isteri dan bayi mereka berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah. Dengan izin Allah, isteri saya telah selamat melahirkan.
“Bayi sihat, ibu pun sihat dan kini sedang berehat dan melalui proses pemulihan,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian sama, Amar turut menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga, sahabat serta orang ramai yang tidak putus-putus menitipkan doa buat mereka sekeluarga.
“Terima kasih buat keluarga, sahabat dan semua yang mendoakan kami. Semoga setiap doa yang baik Allah balas dengan kebaikan juga buat kalian,” kongsinya.
Dalam hantaran sama, Amar turut menitipkan doa agar cahaya mata mereka dikurniakan kesihatan, keimanan serta akhlak yang baik selain membesar menjadi anak soleh.
“Ya Allah, berkatilah anak kami ini. Peliharalah dia, kurniakan kepadanya kesihatan, iman dan akhlak yang baik.
“Jadikanlah dia anak yang soleh, penyejuk hati buat ibu dan ayahnya, serta sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan-Mu. Amin,” ujarnya.
Bagaimanapun, menerusi perkongsian tersebut, Amar tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai jantina mahupun nama cahaya mata berkenaan.
Pun begitu, pelakon itu turut memberi bayangan bahawa mereka menimang cahaya mata lelaki selepas berkongsi foto belon yang berwarna biru berserta papan tanda yang memaparkan ucapan selamat datang.
The post Amar Baharin, Amyra Rosli selamat timang cahaya ketiga appeared first on Utusan Malaysia.





