
Amaran Hujan Lebat Di 2 Negeri, 1 Wilayah Hingga Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di dua buah negeri dan satu Wilayah hingga jam 6 petang ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, amaran berkenaan dikeluarkan untuk seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan.
METMalaysia menjangkakan cuaca buruk melanda sekitar daerah di Sabah seperti Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau (Kunak dan Lahad Datu), Sandakan dan Kudat.
Beralih ke Sarawak, ia melibatkan daerah Sibu, Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Song), Bintulu, Miri dan Limbang.
METMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata hantaran itu.
Orang ramai diminta waspada
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
BACA: Ramai Tak Sedar, Rupanya Ini Punca Renjatan Elektrik Ketika Guna “Water Heater”
BACA: MINDEF Pandang Serius, Siasat Dakwaan Aktiviti Tidak Bermoral Dalam Kem Tentera
Sumber: Malaysian Meteorological Department
The post Amaran Hujan Lebat Di 2 Negeri, 1 Wilayah Hingga Petang Ini appeared first on Siakap Keli.



