Amaran Hujan Lebat Di 9 Negeri & 1 Wilayah Petang Ini 

17 Oct 2024 • 2:42 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Amaran Hujan Lebat Di 9 Negeri & 1 Wilayah Petang Ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 9 buah negeri dan 1 wilayah sehingga jam 4 petang ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, seluruh negeri Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka alami hujan lebat.

Amaran ribut petir dan hujan lebat turut dikeluarkan bagi beberapa daerah di Kedah yang melibatkan Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Baling. Manakala di Perak pula, cuaca buruk dijangka melanda daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang.

Di Selangor, daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat turut dijangka alami hujan lebat petang ini.

Beralih pula ke pantai timur, hujan lebat dijangka landa daerah Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan. Begitu juga di Terengganu, amaran ini terpakai bagi penduduk di daerah Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

Dalam pada itu, amaran turut melibatkan daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang.

Melihat keadaan di selatan negara, cuaca hujan lebat dijangka hanya melibatkan daerah Mersing di Johor.

Penduduk di Sabah juga perlu bersiap-sedia menghadapi ribut petir, hujan lebat dan angin kencang. Cuaca ini dijangka landa daerah Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia.

image is not available
Kredit: Jabatan Meteorologi Malaysia

Terdahulu, amaran air laut pasang besar telah dikeluarkan yang melibatkan sebahagian besar kawasan perkampungan berdekatan muara sungai-sungai utama. Amaran ini dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu bagi mempersiapkan penduduk dengan pelbagai kemungkinan.

Menerusi amaran tersebut, sebanyak 41 perkampungan di 12 muara sungai utama dijangka berisiko terjejas.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang awam untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan peralatan elektrik dan gas berikutan kejadian banjir.

“Sekiranya diarah berpindah, orang ramai perlu memastikan kelengkapan elektrik disimpan di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami air banjir serta matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik.

“Pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan perlu dimatikan daripada suis utama seperti solar PV atau pagar elektrik dan tutup injap silinder gas atau gas berpaip,” menurut kenyataan tersebut.