
Amaran Hujan Lebat Di 9 Negeri, 2 Wilayah
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di sembilan negeri dan satu Wilayah Persekutuan sehingga jam 7 malam ini.
Menerusi satu kenyataan, MetMalaysia berkata amaran itu melibatkan seluruh negeri Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.
Selain itu, amaran tersebut turut membabitkan negeri Kelantan iaitu di daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Gua Musang.
Begitu juga di Terengganu, melibatkan kawasan Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Di Pahang, hujan diramal berlaku di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Kuantan dan Rompin.
Manakala di Selangor pula membabitkan daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
Baca juga:
Malaysia Berdepan Cuaca Ekstrem, Dari Hujan Lebat Luar Biasa Ke Musim Kering
Monsun Barat Daya Bermula Esok, Apa Yang Bakal Kita Hadapi Sepanjang Tempoh Ini?
Bagi Negeri Sembilan, hanya daerah Jelebu, Jempol dan Tampin yang terlibat.
Di Johor pula hanya satu daerah dijangka mengalami cuaca buruk iaitu di Segamat.
Beralih ke Sarawak, amaran melibatkan daerah Kuching (Lundu dan Kuching), Samarahan, Bintulu (Bintulu dan Sebauh), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
Manakala di Sabah pula ialah di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Keningau), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," kata MetMalaysia.



