SHAH ALAM – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan lapan negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga pukul 5 petang ini.
Menerusi amaran yang dikeluarkan pada pukul 2.30 petang, METMalaysia memaklumkan cuaca buruk dijangka melanda Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Di Perak, kawasan yang terlibat ialah Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Bagi Pahang, amaran dikeluarkan bagi kawasan Tanah Tinggi Cameron, manakala di Selangor melibatkan Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat. Amaran sama turut meliputi seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Di Malaysia Timur, kawasan Limbang di Sarawak turut diramalkan mengalami ribut petir dan hujan lebat dalam tempoh berkenaan.
Sementara itu, di Sabah, cuaca buruk dijangka melanda kawasan Pedalaman melibatkan Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan, selain Pantai Barat, Tawau termasuk Tawau dan Lahad Datu, Sandakan membabitkan Tongod, Kinabatangan dan Sandakan serta Kudat.
METMalaysia menjelaskan amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi kawasan yang dijangka mengalami cuaca berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan cuaca terkini melalui saluran rasmi METMalaysia.






