Amaran ribut petir, hujan lebat di KL, Putrajaya dan 8 negeri hingga 7 malam

10 Apr 2026 • 5:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selain lapan negeri hingga 7 malam ini. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selain lapan negeri hingga 7 malam ini.

MetMalaysia dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan cuaca buruk itu dijangka melanda keseluruhan negeri Perlis dan beberapa kawasan di Kedah, iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena serta Padang Terap.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Perak (Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Jerantut) serta Selangor (Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang).

Kawasan terjejas di Negeri Sembilan merangkumi Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Rembau.

Sementara itu di Sarawak, kawasan yang terkesan ialah Serian (Serian), Samarahan (Simunjan), Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong), Sibu, Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu serta Miri (Subis, Beluru dan Marudi).

Di Sabah, kawasan terlibat ialah Pedalaman (Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau, Sandakan (Telupid dan Beluran) serta Kudat (Kota Marudu dan Pitas). - Bernama