
Amaran Ribut Petir, Hujan Lebat Libat 8 Negeri, 2 Wilayah Persekutuan
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan lapan negeri dan dua Wilayah Persekutuan sehingga jam 6 petang hari ini.
Amaran yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi jabatan berkenaan menyenaraikan kebanyakan kawasan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bakal menerima hujan lebat. Begitu juga dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Keadaan di Perak menunjukkan daerah Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim berkemungkinan alami hujan lebat.
“Begitu juga dengan beberapa kawasan di Pantai Timur Semenanjung. Di Terengganu, daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman disenarai bakal terima hujan lebat serta angin kencang.
“Di Pahang, daerah Tanah Tinggi Cameron, Raub, Jerantut, Bentong, Kuantan dan Rompin turut dijangka hujan lebat petang ini,” maklum jabatan berkenaan.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut menjangkakan hujan lebat dan ribut petir bakal melanda beberapa daerah di Selangor. Antara yang tersenarai termasuk daerah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Sementara itu, cuaca di Kepulauan Borneo menunjukkan hujan lebat bakal landa daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei di Sarawak. Begitu juga daerah Sibu, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau dan Sebauh) serta Miri (Subis dan Beluru).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihat agar tidak berada di lokasi berisiko dan kekal peka dengan kemas kini keadaan cuaca di sekitar.
BACA: Minta Disuap, Kisah Pemandu & Anak Yatim Ini Undang Sebak
BACA: Ayah Melutut, Meraung Cari Anak Hilang Dalam Tanah Runtuh
BACA: Polis Johor Kenal Pasti 874 Lokasi Berisiko Banjir
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)
The post Amaran Ribut Petir, Hujan Lebat Libat 8 Negeri, 2 Wilayah Persekutuan appeared first on Siakap Keli.



