Era penerbitan filem dan siri TV menggunakan kecerdasan buatan (AI) bermula tahun lalu. Netflix menggunakannya untuk kesan khas, Prime Video menggunakannya untuk mengalih bahasa secara automatik sementara di Malaysia pula filem dijana AI sepenuhnya telah memasuki pawagam. Kini Amazon MGM Studio merancang menggunakan AI bagi mempercepatkan proses penghasilan filem dan siri TV.

Di bawah pimpinan Albert Cheng, beberapa perisian AI sedang dibangunkan oleh yang pasukan yang diberi nama AI Studio. Selain mempercepatkan produksi ia turut akan mengurangkan kos serta melancarkan proses menghasilkan kandungan kreatif. Amazon dipercayai akan memulakan program ujian AI dengan rakan industri seawal bulan depan.
Amazon menekankan bahawa penulis, pengarah, pelakon dan pereka watak akan terlibat pada setiap peringkat produksi dengan AI tidak akan menggantikan kesemua tugas mereka. Di peringkat awal AI Studio akan melakukan kerjasama dengan syarikat produksi Secret City, Good Karma Productions dan Colin Brady yang pernah bertugas sebagai juruanimasi di ILM dan Pixar bagi menguji alat AI untuk melihat bagaimana ia boleh digunakan.


