AmBank mohon maaf insiden gelandangan disiram air, ‘Tiada siapa patut dilayan begitu’

LocalOpinion
25 Nov 2025 • 4:45 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

AmBank hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi memohon maaf susulan video tular menunjukkan seorang lelaki dipercayai gelandangan disiram air dan ditendang di hadapan cawangannya di Taman Maluri, Cheras.

Dalam kenyataan itu, pihak bank menzahirkan rasa prihatin dan dukacita atas insiden berkenaan, menegaskan bahawa tiada individu wajar dilayan dengan cara sebegitu, selain keselamatan semua pihak di sekitar premis menjadi keutamaan.

“Kami amat prihatin dan sedih dengan kejadian ini. Tiada sesiapa patut dilayan sebegitu rupa dan keselamatan semua di kawasan kami adalah keutamaan,” menurut kenyataan itu.

Baca juga:

Pihak bank menjelaskan bahawa pengawal keselamatan yang terlibat bukan kakitangan tetap AmBank, sebaliknya dilantik melalui penyedia perkhidmatan keselamatan luar, manakala lelaki yang turut kelihatan dalam rakaman dipercayai tukang kasut yang marah terhadap mangsa.

AmBank turut menegaskan bahawa semua individu yang mewakili bank termasuk vendor dan rakan perkhidmatan perlu mengekalkan tahap profesionalisme tertinggi dalam menjalankan tugas.

“Kami menjangkakan semua individu yang mewakili bank, termasuk vendor dan rakan kongsi, sentiasa menunjukkan tahap profesional tertinggi,” jelas kenyataan itu.

Pihak AmBank juga memaklumkan mereka sedang memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut, selain berusaha memastikan kejadian seperti ini tidak berulang pada masa hadapan.

Bank itu turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas keprihatinan dan sokongan terhadap nilai kemanusiaan.