
PETALING JAYA – Demi memberi sinar baharu kepada pesakit yang memerlukan pemindahan organ untuk meneruskan kehidupan, sepasang suami isteri reda mendermakan lima organ anak lelaki mereka yang meninggal dunia.
Mohd. Zairee Mindar, 49, dan isterinya, Zaidah Mohd. Sapawi, 49, bersetuju mendermakan tisu serta lima organ anaknya, Allahyarham Nabil Izz Qaisar, 19, iaitu kornea, jantung, hati, paru-paru serta buah pinggang.
“Sesiapa pun yang menerima organ Nabil, kami berharap setiap amal kebaikan dilakukan mereka menjadi pahala yang terus mengalir buat anak saya,” kata Mohd. Zairee Mindar kepada Kosmo!.
Nabil Izz Qaisar meninggal dunia pada 27 Julai lalu, pukul 3.50 petang selepas parah akibat ditimpa dahan pokok ketika beriadah bersama rakan-rakannya di Sungai Kanching, Rawang.
Mangsa yang juga pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sungai Air Tawar, Sabak Bernam meninggal dunia sehari selepas hari ulang tahun kelahirannya.
Mohd. Zairee berkata, keluarga tidak mengetahui sama ada arwah pernah berikrar sebagai penderma organ kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan ketika hayatnya.
Menurut penjawat awam itu, keputusan itu bukan mudah dan hanya dibuat selepas keluarga diberi penerangan serta ruang untuk berbincang.
“Selepas ujian pengesahan kematian otak dilakukan, doktor memaklumkan kami boleh mempertimbangkan pendermaan sebagai amal jariah berpanjangan untuknya,” katanya.
Menurutnya, sesi runding cara bersama pihak hospital berlangsung lebih dua jam pada pagi Isnin sebelum keluarga membuat keputusan kira-kira pukul 3 petang pada hari sama.
Dalam tempoh itu, mereka melakukan penyelidikan mengenai keperluan penerima organ selain mendapatkan pandangan pihak yang lebih arif, termasuk Timbalan Mufti Selangor.
“Kami akui pengetahuan mengenai pendermaan organ ketika itu terbatas. Kami juga bimbang akan timbul tanggapan negatif terhadap keluarga. Sebab itu saya mahu dengar sendiri penjelasan daripada pihak berautoriti.
“Selepas diberitahu hukumnya harus bagi tujuan menyelamatkan nyawa, kami menjadi lebih yakin,” ujarnya.
Menurutnya, keluarga turut mengambil kira keadaan pesakit lain yang terpaksa menunggu lama dan bertarung nyawa bagi mendapatkan organ yang sesuai.
“Kami melihat perkara ini (tunggu organ) juga berlaku di sekeliling kami sendiri. Ada anak-anak kepada kenalan kami yang sedang menunggu peluang untuk terus hidup.
“Selepas fikirkan semua itu, kami reda dan bersetuju supaya sebahagian tubuh Nabil dapat memberi manfaat kepada orang lain. Saya berpesan kepada isteri dan anak-anak bahawa ini ialah amal jariah kami untuk Nabil.
“Tidak kira kepada siapa organ itu diberikan, semuanya urusan Allah. Mudah-mudahan setiap denyutan jantung, nafas dan kebaikan penerima menjadi saham akhirat untuk Nabil,” katanya.
Kisahnya tular di media sosial selepas Hospital Selayang memuat naik video ‘honor of walk’ sebagai penghormatan terakhir kepada arwah selepas ibu bapanya bersetuju mendermakan organ anak tunggal lelaki mereka.
Mengulas kejadian menimpa anaknya, Mohd. Zairee berkata, kejadian berlaku pada 25 Julai ketika Allahyarham yang juga pelajar Diploma Kewangan Islam di PSIS dan rakan-rakannya sedang mendaki menerusi laluan anak tangga di kawasan rekreasi itu.
“Berdasarkan cerita rakannya, bunyi dahan itu jatuh sangat kuat sehingga mereka yang berada di belakang sempat menutup muka.
“Apabila keadaan kembali senyap dan mereka menoleh, Nabil sudah terkena dahan,” katanya.
Allahyarham dikejarkan ke Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia.
Prosedur pendermaan organ bermula kira-kira pukul 3 pagi keesokan harinya sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Pertama, Sabak Bernam.
Mohd. Zairee berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya adalah pada Jumaat, sehari sebelum kejadian, selepas mereka selesai menunaikan solat Jumaat di masjid yang sama.
“Ketika keluar dari masjid, saya ternampak dia bersama rakannya dan dia sempat memanggil saya. Itu kali terakhir saya berjumpa dengannya,” katanya.
Menurutnya, Allahyarham juga tidak menunjukkan sebarang perubahan atau tanda luar biasa sebelum pemergiannya.
Katanya, keadaan itu sukar disedari kerana Nabil tinggal di rumah sewa berhampiran politeknik, manakala dia dan keluarga menetap di Sabak Bernam.
Mohd. Zairee berkata, Nabil yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu disifatkan sebagai seorang yang mudah didekati, rapat dengan empat adik-beradik perempuannya serta memahami tanggungjawabnya terhadap keluarga.
“Saya selalu pesan jika saya dan ibunya tiada, dialah yang perlu menjaga adik-adik serta menjadi wali kepada mereka.
“Sebagai anak lelaki tunggal, saya mahu dia membesar menjadi seorang yang kuat dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Menurutnya, keluarga terharu apabila rakan-rakan, guru, bekas pengetua dan ibu bapa kepada sahabat arwah tidak putus-putus menziarahinya sejak dimasukkan ke hospital.
“Ketika melalui lorong untuk ‘honor of walk’, saya melihat begitu ramai orang berdiri di kiri dan kanan. Dalam hati saya berkata, ‘ramai sungguh kawan kamu’.
“Ada rakannya yang baru selesai peperiksaan sanggup datang dari Taiping pada pukul 3 pagi semata-mata untuk memberikan penghormatan terakhir,” katanya.
The post Ambil masa 2 jam sebelum setuju derma organ Nabil appeared first on Kosmo Digital.





