
Seorang pekerja di sebuah kedai serbaneka di Bandar Rinching, Kajang, Selangor mengalami kecederaan di muka selepas ditumbuk seorang lelaki mabuk di premis itu, malam tadi.
Lebih menjengkelkan, selepas teruk dibelasah, mangsa dipaksa selfie bersama seorang rakan lelaki penyerang yang turut berada di kedai tersebut.
Video yang tular di media sosial memaparkan mangsa ditumbuk dan ditendang oleh lelaki mabuk terbabit sehingga terjatuh di atas lantai.
Turut tersebar gambar selfie itu yang dilihat hidung mangsa berdarah manakala rakan lelaki penyerang masih boleh tersenyum.

Hanya kerana ditegur mengambil payung
Memetik sumber Harian Metro, bapa mangsa, Shahrul Aminshah Aziz, 40, berkata anak lelakinya yang berusia 17 tahun itu berkerja sambilan di kedai serbaneka itu selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ketika kejadian dua lelaki yang mabuk masuk ke premis dan cuba mengambil payung.
“Anak saya menegurnya namun kemudian ditumbuk salah seorang lelaki terbabit. Apa yang menjengkelkan adalah tindakan lelaki terbabit yang mengambil selfie anak saya selepas ditumbuk,” katanya.
Menurutnya, anaknya kini menerima rawatan di Hospital Kajang akibat kecederaan di bahagian muka.
“Laporan polis sudah dilakukan di Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut, saya mohon mana-mana individu yang mengenali lelaki ini tampil memberikan maklumat kepada polis,” katanya.
Sementara itu, polis mengesahkan kejadian dan memaklumkan ianya dalam tindakan pihaknya untuk mengesan suspek.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


