Ambil Tindakan Jika Siasatan Dapati Logo Vern’s Disengajakan - JAKIM

8 Apr 2024 • 3:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rekaan logo di tapak kasut Vern’s ini menimbulkan kontroversi kerana didakwa menyerupai kalimah Allah - gambar fail

KUALA LUMPUR - Tindakan sewajarnya perlu diambil berlandaskan undang-undang sekiranya siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati wujud elemen disengajakan dalam rekaan logo kasut jenama Vern’s. 

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff berkata, jabatan itu amat memandang serius isu berkenaan kerana ia jelas melibatkan sensitiviti umat Islam.

Menurut beliau, isu berkenaan juga  boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Seperti yang diarahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, hari ini JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn. Bhd., Datuk Seri Ng Chuan Hoo bagi tujuan siasatan.

“Pengurusan syarikat itu juga sudah diminta memberi keterangan dan memperincikan langkah-langkah  untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang,” katanya.

image is not available
Hakimah Mohd Yusoff - gambar BERNAMA

Jelas Hakimah, pengurusan syarikat terbabit telah menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut dan membuat permohonan maaf.

“Pihak syarikat telah mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta-merta produk tersebut dari lebih 70 cawangan Vern’s di seluruh negara.

“JAKIM tidak mahu kes sebegini berulang lagi di masa akan datang sama ada oleh pihak Vern’s Holding Sdn. Bhd. dan juga semua pihak yang menghasilkan apa sahaja produk jualan,” katanya. 

Beliau menarik perhatian, pengurusan Vern’s telah diberi ingatan agar sentiasa cakna dengan dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum.

“Ingatan ini juga terpakai untuk semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport agar keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini dapat dikekalkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hakimah turut menasihatkan semua pihak untuk tidak membangkitkan sebarang isu 3R (agama, raja dan kaum) yang boleh menimbulkan ketegangan serta menjejaskan keharmonian negara. 

“Serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan kes ini telah pun dibuka kertas siasatan oleh pihak PDRM,” katanya. - Getaran, 8 April 2024