SHAH ALAM – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengecam penahanan tiga aktivis yang didakwa mengganggu ucapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Kuala Lumpur pada Selasa.
Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz turut menggesa pihak berkuasa supaya segera menghentikan siasatan terhadap individu terbabit yang kini direman selama tiga hari.
Menurut beliau, menggunakan hak untuk bersuara menentang perasuah dan rasuah bukanlah satu jenayah.
"Jenayah yang sebenar ialah terus menghancurkan imej negara dengan membiarkan Azam Baki terus bebas dan berkuasa walaupun sudah banyak kejadian salah laku yang perlu disiasat dengan telus," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan ketiga-tiga individu berkenaan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186, 447 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Keempat-empat peruntukan undang-undang ini umumnya melibatkan gangguan terhadap penjawat awam, pencerobohan, provokasi dan ketenteraman awam, dengan hukuman maksimum antara denda ringan (RM100) hingga penjara dua tahun.
Amira Aisya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa menyatakan pendirian teguhnya untuk bersama rakan-rakan aktivis yang telah ditahan serta semua pejuang hak asasi manusia.
Beliau turut menggesa kerajaan agar mengambil tindakan terhadap Azam dan bukannya menahan aktivis marhaen yang memperjuangkan suara rakyat.
Dalam kejadian sekitar jam 2.40 petang itu, ketiga-tiga aktivis berkenaan ditahan selepas menimbulkan kekecohan dan mengangkat plakad ketika Ketua Pesuruhjaya SPRM menyampaikan ucapan awam pada program Wacana Ilmiah Perdana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Bantahan secara aman dan senyap itu dilakukan, dipercayai berhubung kontroversi pemilikan saham dan isu korporat mafia SPRM.
