PETALING JAYA – Amira Aisya Abd Aziz secara rasmi dipilih sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi sesi 2026/2029.
Keputusan itu diumumkan Pengarah Pemilihan MUDA, Muhammad Zaim Zulkafli selepas pemilihan sulung 25 ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) yang diadakan serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2025 parti berkenaan.
Jawatan Timbalan Presiden MUDA pula disandang oleh Zaidel Baharuddin manakala Ainie Haziqah kekal mempertahankan kerusi Setiausaha Agung MUDA.
Pemilihan kali ini turut melantik lima Naib Presiden iaitu Faezrah Rizalman, Leben Siddarth, Zarul Afiq, Dobby Chew dan Dr Siva Prakash.
Amira Aisya ketika menyampaikan ucapan penutup Sidang MUDA berkata, nama dan jawatan JKEP yang dipilih selebihnya akan diumumkan selepas raya.
"Pelantikan jawatan Bendahari Agung dan lima JKEP yang berada dalam bidang kuasa Presiden akan saya umumkan selepas cuti raya.
"Jadi, saya serahkan kepada Ketua Penerangan yang baharu, Rasid Abu Bakar untuk mengadakan sidang media akan datang.
"Saya sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua perwakilan MUDA yang hadir mengundi, calon yang bertanding, jemputan dan pemerhati," katanya pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu turut mengingatkan kesemua 25 JKEP bahawa pilihan yang dibuat oleh perwakilan bukan mandat kecil.
"Saya yakin dan percaya kesemua 25 ahli JKEP MUDA mempunyai misi serta visi yang tersendiri.
"Sekiranya meneruskan gerak kerja sebagaimana dijanjikan dalam kempen manifesto masing-masing, maka MUDA mampu pergi jauh untuk penggal 2026/2029.
"Mohon doa perwakilan supaya kami dapat menjalankan tugas sebaik mungkin untuk mengangkat suara rakyat," ujarnya.

