
JOHOR BAHRU - Keputusan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah pada Isnin jelas membuktikan bahawa tuduhan dibuat selama ini merupakan satu bentuk penganiayaan dan pendakwaan politik terpilih.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perbuatan tersebut dilakukan pihak yang mahu mencalarkan imej Institusi Presiden dan UMNO.
Pengerusi UMNO Johor itu berkata, keputusan berkenaan memberi makna besar kepada seluruh ahli dan keluarga UMNO.
"Ini telah menoktahkan segala bentuk penganiayaan sekali gus membersihkan nama baik Presiden dan UMNO khususnya. Seluruh warga UMNO Johor menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT atas keputusan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Justeru katanya, UMNO Johor mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penganiayaan itu dan menggesa agar pihak yang menzalimi Presiden UMNO itu diambil tindakan sewajarnya.
Keputusan itu juga katanya, memberi satu petanda kemenangan yang amat bermakna kepada seluruh ahli parti khususnya UMNO Johor sekali gus dapat membuka mata rakyat dan menjernihkan sentimen pertuduhan yang bersifat penganiayaan.
"UMNO Johor beriltizam dan sebulat tekad untuk sentiasa berdiri teguh mempertahankan institusi Presiden serta bersama-sama Presiden untuk mengembalikan semula kegemilangan dan kepercayaan orang Melayu terhadap parti keramat UMNO," katanya.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid hadir prosiding 47 kes rasuah, pecah amanah, AMLA

