UMNO Pulau Pinang akan terus sokong Ahmad Zahid

LocalPolitics
5 Sep 2023 • 9:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

GEORGETOWN - UMNO Pulau Pinang menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadikan mangsa pendakwaan terpilih apabila dituduh di mahkamah di atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Susulan daripada itu, UMNO Pulau Pinang akan terus memberi sokongan kepada Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO Malaysia dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya bersyukur dengan keputusan yang diputuskan mahkamah terhadap Ahmad Zahid pada Isnin.

"UMNO Pulau Pinang menzahirkan rasa syukur dengan laporan berita berkaitan Ahmad Zahid yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan AMLA membabitkan dana Yayasan Akalbudi

"Bagi kami, tindakan pihak pendakwaan memohon untuk prosiding dihentikan adalah selaras dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata Musa lagi, berdasarkan 11 alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan terhadap Ahmad Zahid, perkara itu seharusnya memberi pengajaran kepada semua.

"Pada saat ini, betapa perlunya semua institusi keadilan negara diletakkan kembali atas landasan yang sebenar tanpa campur tangan politik pihak tertentu supaya pendakwaan terpilih seperti yang dikenakan terhadap Ahmad Zahid tidak berulang kepada mana-mana pihak lain.

"Ini demi kelangsungan Kerajaan Madani Malaysia dalam usaha mereformasikan institusi agar Perlembagaan dan semangat keadilan dalam institusi-institusi berwajib di negara ini terus ditegakkan," katanya.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan bagi lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Bagi tuduhan pecah amanah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau juga dituduh menerima suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Bagi 27 pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid didakwa membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.