KUALA LUMPUR - Pelancaran rasmi Persatuan Agensi Pemulihan Kredit Malaysia (AMCRA) diyakini mampu mengubah struktur industri pemulihan kredit menjadi lebih sistematik, kemas dan teratur.
Presiden AMCRA, Rohan Jayaratnam berkata, industri pemulihan kredit sejak berdekad lamanya berperanan besar menyokong sistem perbankan dan kewangan negara, justeru penubuhan AMCRA mampu menggerakkan ia secara lebih mapan.
Menurut beliau, AMCRA juga berkebolehan membantu industri khususnya dalam aspek pengurusan serta pemulihan hutang pengguna tanpa sandaran.
“Apabila kredit pengguna berkembang sejajar dengan pertumbuhan ekonomi, agensi kutipan hutang berlesen menjadi sebahagian daripada ekosistem kewangan yang penting. Ia membantu institusi kewangan mengurus risiko kredit serta mengekalkan kestabilan sistem.
“Industri pemulihan hutang di Malaysia telah berkembang pesat. Hari ini, agensi yang mempunyai reputasi tinggi beroperasi dengan rangka kerja pematuhan yang kukuh, sistem teknologi yang mantap, serta memenuhi kriteria ketat pelanggan, terutama daripada pihak bank,” katanya.

Jelas Rohan, Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) dan penubuhan Lembaga Pemantau Kredit Pengguna (CCOB) memberikan pencerahan yang amat diperlukan oleh sektor berkenaan.
“Kami melihat rangka kerja kawal selia baharu ini sebagai langkah positif yang membawa struktur, ketekalan (consistency), dan legitimasi kepada industri.
“Peraturan yang jelas membantu membezakan agensi berlesen yang bertanggungjawab dengan pengendali haram atau tidak beretika, selain memperkukuh keyakinan awam terhadap peranan kami,” katanya.
Tambah beliau, AMCRA ditubuhkan sebagai suara kolektif agensi berlesen dan menjadi platform rasmi bagi sesi libat urus dengan pengawal selia serta pihak berkepentingan.
“Industri ini menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat Malaysia dan berjaya memulihkan berbilion ringgit hutang tanpa sandaran setiap tahun bagi pihak institusi kewangan.
“Pemimpin industri yakin kawal selia yang lebih jelas akan meningkatkan profesionalisme sektor ini, menggalakkan amalan bertanggungjawab, dan memantapkan pembangunan tenaga kerja,” tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden AMCRA, Datuk Mohd Shahrom bin Mohd Rafik berkata, persatuan itu berpaksikan kepada prinsip etika, profesionalisme, dan kerjasama.
“Pemulihan hutang adalah tentang mengembalikan keseimbangan dan tanggungjawab dalam sistem kewangan. Ia perlu dilaksanakan mengikut undang-undang, dengan penuh hormat dan menjaga maruah.
“AMCRA ditubuhkan untuk meningkatkan piawaian, menyokong pembangunan profesional, dan menyediakan suara tunggal bagi agensi pemulihan yang beretika,” katanya.
Setakat ini, AMCRA mewakili lebih 40 agensi pemulihan kredit berlesen di seluruh negara.
Ia menyasarkan peranan aktif dalam menyokong piawaian industri, dialog, dan amalan terbaik seiring dengan perkembangan rangka kerja kredit pengguna di Malaysia. - Getaran, 30 Januari 2026
