Apabila siri kad grafik AMD Radeon RX 9000 dilancarkan, syarikat teknologi tersebut juga telah memperkenalkan kemaskini kepada perisian grafik AMD Fidelity Super Resolution melalui versi FSR 4.0 yang memperlihatkan penambahan ciri seperti janaan bingkai tambahan (FSR Frame Gen), penskalaan tambahan resolusi bingkai yang lebih cekap, pengurangan isu ghosting dan lain-lain.
Akan tetapi, sehingga kini FSR 4.0 hanya ditawarkan pada siri kad grafik terbaru AMD yang terdiri daripada siri kad grafik Radeon RX 9070 dan 9060 (termasuk model XT) dan untuk siri kad grafik lebih lama seperti Radeon RX 7000 dan 6000 untuk menerima sokongan FSR 4.0 tersebut, mereka perlu memuat-turun perisian kemaskini yang diperkenalkan oleh komuniti AMD sendiri.
As a lifelong gamer, I spend a lot of time thinking about how to push gaming experiences forward across CPUs, GPUs, software, and games.
My team and I have been working hard to evolve @AMD FSR 4 and bring it to more cards.
We power over 1 billion gaming devices worldwide. It’s… pic.twitter.com/91Z3vXpQap
Walaupun begitu, AMD akhirnya mengatakan bahawa mereka akan menawarkan kemaskini FSR 4.0 secara rasmi untuk siri kad grafik Radeon RX 7000 dan 6000, melalui pengumuman yang dibuat oleh Jack Huynh, SVP dan Pengurus Besar bahagian Computing & Graphics.

Beliau mengatakan bahawa kad-kad grafik AMD Radeon RX 7000 boleh memuat-turun kemaskini sokongan untuk FSR 4.1 bermula bulan Julai ini, dan ia akan hadir dengan sokongan untuk lebih dari 300 permainan komputer apabila ia diperlihatkan kelak.
Untuk mereka yang masih menggunakan siri kad grafik AMD Radeon RX 6000 pula, beliau mengatakan sokongan untuk FSR 4.1 juga akan diperkenalkan pada awal tahun 2027 kelak, tanpa tarikh khusus bilakah ia akan diperkenalkan.
Ini bermakna bahawa tidak lama lagi, mereka yang tidak mahu menaiktaraf kad grafik mereka akan menerima ciri-ciri terbaru FSR 4.1 secara rasmi dari AMD kelak, memanjangkan lagi hayat penggunaan komponen kad grafik mereka.

