AMD Dan Valve Bekerjasama Untuk Mendapatkan Sokongan Rasmi HDMI 2.1 Untuk Linux

TechnologyGaming
4 May 2026 • 2:50 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

High Definition Media Interface ataupun HDMI ialah format penghantaran sumber data video dan audio yang cukup terkenal dan dimanfaatkan oleh pelbagai pihak dalam industri audiovisual. Tetapi tahukah anda bahawa teknologi HDMI ini perlu dilesenkan, dan penggunaannya oleh jenama-jenama teknologi yang memerlukannya perlu dibayar?

Ini merupakan sebab mengapa sehingga kini, teknologi HDMI 2.0 dan HDMI 2.1 masih lagi tidak disokong oleh sistem operasi sumber terbuka seperti Linux. Tidak seperti Apple ataupun Microsoft, Linux tidak membayar untuk menggunakan teknologi tersebut, dan sehingga kini, had sokongan HDMI pada sistem operasi sumber terbuka tersebut adalah terhad kepada HDMI 1.4.

Image from: AMD Dan Valve Bekerjasama Untuk Mendapatkan Sokongan Rasmi HDMI 2.1 Untuk Linux

Sebelum ini, jenama CPU terkemuka AMD telahpun cuba berbincang dengan HDMI Forum untuk membenarkan mereka memperkenalkan kemaskini sokongan buat format HDMI 2.0 dan HDMI 2.1 terbaru, tetapi telah ditolak kerana mengatakan bahawa sistem operasi Linux tidak menepati piawaian penggunaan wajar yang ditetapkan HDMI Forum.

Walaupun begitu, ia telah dilaporkan bahawa AMD telah berganding bahu dengan Valve untuk meminta HDMI Forum untuk membenarkan teknologi sambungan data tersebut disokong secara rasmi pada sistem operasi Linux.

Image from: AMD Dan Valve Bekerjasama Untuk Mendapatkan Sokongan Rasmi HDMI 2.1 Untuk Linux

Ini adalah kerana Valve bukan sahaja menggunakan komponen cip pemprosesan AMD untuk menguasakan konsol permainan Steam Machine akan datang, tetapi juga sistem operasi SteamOS yang digunakan oleh konsol tersebut adalah dikuasakan oleh sistem operasi Linux.

Sebelum ini, AMD sudahpun mengerahkan tenaga kerja untuk memperkenalkan perisian sokongan untuk HDMI 2.0 dan HDMI 2.1 untuk sistem operasi Linux, tetapi pengesahannya sebelum ini telah ditolak bulat-bulat oleh HDMI Forum walaupun AMD merupakan rakan pembangun dalam kumpulan tersebut.

Selain daripada keselamatan data yang lebih terjamin, kelebihan HDMI 2.0 dan HDMI 2.1 dapat dilihat melalui sokongan kadar penghantaran data yang jauh lebih pantas yang sangat berguna untuk paparan skrin dengan resolusi tinggi (4K, 5K) dan kadar segar semula yang lebih pantas.

Image from: AMD Dan Valve Bekerjasama Untuk Mendapatkan Sokongan Rasmi HDMI 2.1 Untuk Linux

Dengan kerjasama terbaru ini, ia dilaporkan bahawa AMD telah menghantar kemaskini sokongan ciri HDMI 2.1 Fixed Link Rate untuk sistem operasi Linux untuk disahkan oleh HDMI Forum. Ciri tersebut digunakan untuk membolehkan cip GPU untuk menghantar data output grafik pada kadar yang lebih tinggi yang menyokong resolusi dan kadar segar semula tinggi (4K, 120FPS sebagai contoh).

Dengan ini, jangkaan ramai ialah kelak bahawa Steam Machine boleh dimainkan pada resolusi dan kadar segar semula skrin yang lebih tinggi tanpa masalah. Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah Valve akan mengumumkan tarikh dan tanda harga jualan Steam Machine secara rasmi.