Kebelakangan ini, ia dapat dilihat bahawa teknologi pengaturcaraan perisian dan laman web sudah semakin maju, dan dengan pemesatan AI, laman web kini boleh dibangunkan dalam masa yang sangat singkat tanpa perlu bergantung kepada pembangun.
Terkini, melalui data yang dikumpul, ia telah diumumkan bahawa 1/3 daripada laman web yang dibangunkan dan dirakam sejak 2022 telah dijana sepenuhnya oleh kecerdasan buatan.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh sekumpulan penyelidik dari Imperial College London dan Internet Archive yang telah menggunakan data yang dirakam oleh Internet Archive sepanjang tahun 2022 ke 2025 untuk menyiasat perkara ini melalui kertas kerja mereka yang dinamakan “The Impact of AI-Generated Text on the Internet.”.
Untuk kertas kerja ini, enam hipotesis telah diuji, dan kesemuanya memperlihatkan pelbagai aspek laman web yang dijana AI, dari kemerosotan idea dan pandangan, corak penulisan, kandungan yang tidak lagi memberi sumber maklumat yang sahih dan lain-lain.
Kumpulan penyelidik ini mengambil data rakaman laman web dari Internet Archive bermula dari bulan Ogos 2022 sehingga bulan Mei 2025. Untuk setiap pautan URL yang disampel, ia akan disalurkan ke API Wayback Machine CDX untuk mencari rakaman arkib tertua laman web tersebut.
Mereka kemudiannya menggunakan perisian Pangram v3 untuk menganalisa teks pada laman web untuk melihat sama ada ianya telah dijana oleh AI ataupun ditulis oleh penulis manusia. Mereka juga telah menguji perisian penganalisa teks yang lain, tetapi telah mendapati bahawa Pangram menghasilkan keputusan yang lebih jitu dan sekata.

Penemuan kertas kerja ini dilihat cukup menarik. Beberapa hipotesis yang diuji telah disahkan seperti; kemerosotan pandangan yang diperlihatkan pada laman web, penulisan yang kini lebih “ceria” dan steril, dan laman-laman web AI ini tidak lagi memperlihatkan sumber sahih untuk kandungan yang diperlihatkan.
Walaupun begitu, satu hipotesis yang tidak dapat disahkan ialah berkaitan Truth Decay Hypothesis, yang mana apabila kandungan AI semakin tersebar di internet, pengguna akan lebih kerap menghadapi maklumat yang salah dari segi fakta dan halusinasi.
Kumpulan penyelidik ini telah mencari maklumat palsu sahaja, dan menariknya, ini nampaknya sebab mengapa hipotesis ini tidak dapat diuji, kerana maklumat yang dipaparkan pada laman-laman web ini tidak melepasi piawaian untuknya ditakrifkan sebagai perkongsian maklumat palsu.
Hipotesis ini hadir melalui Dead Internet Theory yang mengatakan bahawa interaksi manusia di internet telahpun “mati”, dan kebanyakan trafik yang dijana sekarang adalah dari interaksi bot dan sekarang, kecerdasan buatan. Salah satu contoh terbesar teori ini boleh dilihat melalui platform media sosial Moltbook yang dibina khusus untuk ejen kecerdasan buatan manakala penyiaran kandungan dikawal sepenuhnya oleh algoritma enjin carian.
Pada pendapat saya, laporan ini cukup menarik kerana ia sedikit sebanyak mengesahkan bahawa penggunaan AI kini sudah berada pada tahap dimana kandungan dijana AI bukan sahaja semakin banyak kebelakangan ini, tetapi ia juga diterima orang ramai.





