Jika anda sedang berfikir untuk membina sebuah komputer desktop, anda mungkin akan mahu memilih komponen-komponen anda dengan cepat, kerana baru-baru ini terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa AMD telah mengarahkan penghentian pengeluaran papan induk AMD B650.
Papan induk siri AMD B650 ini adalah papan induk siri pertengahan yang menyokong cip pemprosesan siri AMD Ryzen 7000 dan AMD Ryzen 9000, walaupun kini terdapat papan induk AMD X870 dan AMD B850 yang lebih baru dan hadir dengan ciri-ciri yang lebih moden seperti sokongan untuk USB 4 dan PCIe Gen 5.

Ura-ura ini hadir melalui forum digital industri yang mengatakan bahawa arahan atau permintaan tersebut telah dikeluarkan oleh AMD baru-baru ini, dan ia dijangka bahawa bekalan stok untuk papan induk tersebut akan menurun dengan mendadak sekitar suku ketiga tahun ini.
Ia juga dikatakan walaupun pengilangan papan induk tersebut dihentikan sekarang, ia dijangka bahawa jualannya masih akan berterusan untuk beberapa bulan sebelum stok sedia ada akan habis. Ia juga dijangka bahawa apabila hanya papan induk X870 dan B850 ada di pasaran kelak, ia akan membantu untuk mengurangkan harga penawaran tersebut.
