AMD dan Intel baru memperlihatkan siri cip pemprosesan grafik terbaru mereka, RDNA4 dan Intel Arc Battlemage yang digunakan dalam siri kad grafik terbaru mereka, dan kini, pembangunan untuk arkitektur seterusnya nampaknya sudahpun bermula.
Peniris maklumat komponen Kepler di X/Twitter baru-baru ini telah memperlihatkan bahawa AMD dan Intel sudahpun memulakan fasa R&D cip pemprosesan grafik terbaru mereka, dan kod nama untuk kedua-dua cip grafik ini sudahpun diperlihatkan. Untuk AMD, ia hadir dengan nama GFX13, dan untuk Intel pula, ia adalah Xe4.

Nama-nama ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kerana siri cip RDNA4 yang ada di pasaran sekarang melalui kad grafik AMD Radeon RX 9070 dan RX 9070XT mempunyai kod nama GFX12 apabila ia dibangunkan, manakala cip pemprosesan grafik Intel Battlemage menggunakan kod nama Xe2.

Jika anda bertanya tentang Intel Xe3, ia kini sedang dalam fasa akhir pembangunan, dan akan tiba melalui siri cip pemprosesan Intel Panther Lake dengan nama Intel Arc Celestial. Untuk Intel Xe4 pula, ia dilaporkan bahawa Intel sudahpun mengesahkan bahawa kod nama untuk cip pemprosesan grafik tersebut ialah Intel Arc Druid.
Walaupun begitu, produk-produk berasaskan arkitektur pemprosesan grafik ini tidak dijangka akan tiba sehingga 2027 ataupun 2028. Cip Intel Panther Lake yang menggunakan cip Intel Xe3 hanya akan diperkenalkan seawal penghujung tahun ini dan awal tahun depan, manakala ia tidak diketahui lagi bilakah kad grafik Intel Arc Celestial untuk desktop akan diperkenalkan.


