AMD Mengatakan Cip Grafik Radeon 8060S Jauh Lebih Hebat Berbanding NVIDIA GeForce RTX 4070

TechnologyDigital
27 Jan 2025 • 12:04 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

AMD telah melancarkan siri cip pemprosesan AMD Strix Halo untuk komputer riba yang memerlukan kuasa pemprosesan yang hebat, tetapi mahu memuatkannya didalam saiz komputer riba yang nipis dan ringan.

Model paling berkuasa dalam siri ini, AMD Ryzen AI Max+ 395 terdiri daripada bahagian CPU dengan 16 teras fizikal Zen 5 dan cip grafik AMD Radeon 8060S yang digabungkan bersamanya tampil dengan 40 teras Compute Unit, jauh lebih berkuasa berbanding dengan cip grafik AMD Radeon 890M sebelumnya.

image is not available

Menariknya, mereka juga telah memperlihatkan sebuah graf prestasi permainan komputer apabila dibandingkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 pada resolusi Full HD dan juga tetapan grafik tinggi.

Graf ini memperlihatkan bahawa cip grafik Radeon 8060S memperlihatkan prestasi yang lebih baik berbanding penawaran NVIDIA dalam kes penggunaan kuasa yang sama. Bergantung kepada permainan yang dimainkan, cip pemprosesan AMD memperlihatkan kadar bingkai yang jauh lebih tinggi berbanding penawaran NVIDIA.

Malah, AMD mengatakan bahawa prestasi cip grafik terbaru mereka ini setinggi 68.1 peratus lebih tinggi dengan penggunaan kuasa yang sama.

Pengeluar-pengeluar komputer riba dijangka memperkenalkan penawaran model dengan cip pemprosesan AMD Strix Halo tidak lama lagi.