Qualcomm telah melancarkan siri cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X di acara CES 2025 pada awal bulan ini untuk membolehkan pembuat peranti tablet dan komputer riba untuk tampil menawarkan peranti yang lebih padat dan juga mempunyai harga jauh lebih mampu milik berbanding dengan penawaran sedia ada.

Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa dengan pengenalan cip pemprosesan Qualcomm baru ini, Microsoft juga mungkin akan memperkenalkan peranti Surface Pro dan Surface Laptop baru yang menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X ini.
Tablet dan komputer riba tersebut dijangka hadir dengan paparan bersaiz 11 dan 12 inci yang akan mengekalkan rekaan premium sedia ada. Ia juga dijangka bahawa tablet dan komputer riba Surface Pro dan Surface Laptop ini akan memperlihatkan tanda harga $800 ke $900.

Microsoft akan mengadakan acara Surface For Business pada minggu hadapan yang dijangka akan memperlihatkan kemaskini kepada siri peranti tablet dan komputer riba Surface Pro dan Surface Laptop CoPilot Plus. Ia dijangka bahawa kemaskini terbaru ini akan memperlihatkan Microsoft akhirnya memperkenalkan peranti komputer yang dikuasakan cip pemprosesan Intel Lunar Lake.

