Hari ini, kami melaporkan bahawa AMD mengesahkan bahawa konsol akan datang Microsoft Xbox yang terbaru sedang dibangunkan, dan akan sedia diperkenalkan sekitar tahun 2027. Pihak AMD, melalui pengumuman CEO mereka, Dr. Lisa Su turut mengumumkan bahawa satu lagi konsol, iaitu Steam Machine akan mula dihasilkan pada awal tahun ini.
Steam Machine merupakan konsol permainan komputer keluaran Valve yang akan digerakkan dengan sistem operasi SteamOS, dan dikuasakan oleh APU AMD yang dengan cip grafik RDNA 3.5, sama seperti apa yang diperlihatkan dalam cip AMD Z2 Extreme yang menguasakan beberapa konsol permainan mudah-alih.

Sewaktu pembentangan kewangan syarikat, Dr. Lisa Su telah membuat beberapa pengumuman, termasuklah projek-projek yang membabitkan Microsoft dan konsol Xbox terbaru mereka, dan terkini, berkenaan Steam Machine yang ditunggu oleh ramai gamer-gamer.
Steam Machine yang akan dilancarkan kelak merupakan sebuah produk yang ditunggu-tunggu orang ramai kerana ia diharapkan akan menjadi cara terbaik untuk memainkan permainan-permainan komputer kegemaran pengguna di platform Steam tanpa memerlukan sebuah komputer, yang kini dilihat sangat mahal untuk dibina.
Sayangnya, buat masa ini kita masih tidak mempunyai banyak butiran tentang Steam Machine, seperti tarikh jualan dan juga tanda harganya. Valve sebelum ini telah mengesahkan bahawa ia akan diperlihatkan apabila mereka bersedia untuk menunjuknya.



