Bersama-sama dengan pengumuman cip pemprosesan AMD Ryzen 7 9850X3D, mereka juga turut membuat pengumuman mengenai siri cip pemprosesan komputer terbaru mereka, iaitu AMD Ryzen AI 400.
Siri cip pemprosesan ini hadir dengan 13 model untuk pelbagai jenis kegunaan, dengan dua cip pemprosesan yang paling berkuasa adalah AMD Ryzen AI 9 HX 475 dan AMD Ryzen AI 9 HX 470 yang mana kedua-duanya mempunyai 12 teras fizikal dan 24 bebenang kuasa.

Selain daripada menggunakan cip pemprosesan AMD ZEN 5 yang terbaru, siri cip pemprosesan ini juga merumahkan cip AI XDNA 2 yang memberikan cip pemprosesan ini kuasa pemprosesan AI setinggi 60 NPU TOPS, 10 lebih tinggi berbanding apa yang ditawarkan pada siri cip pemprosesan AMD Ryzen AI 300 sebelum ini.
Untuk kuasa pemprosesan grafik pula, setiap cip pemprosesan ini merumahkan cip pemprosesan grafik AMD Radeon 800M, yang terdiri daripada AMD Radeon 890M pada dua cip pemprosesan mercu dan AMD Radeon 880M, Radeon 860M dan Radeon 840M untuk cip pemprosesan kelas pertengahan dan mampu milik.

Menariknya, semua cip pemprosesan dalam siri ini hadir dengan sokongan untuk memori LPDDR5 dengan kelajuan sekurang-kurangnya 8000MT/s yang membolehkan siri cip pemprosesan ini menguasakan pelbagai jenis komputer riba dengan prestasi yang baik.
Dalam pada itu, AMD turut memperkenalkan cip pemprosesan AMD Ryzen AI 400 Pro yang merumahkan ciri AMD PRO Technologies mempunyai ciri keselamatan dan pengurusan aset kelas enterprise dan sokongan platform yang lebih lama untuk kestabilan penggunaan peranti syarikat.

AMD mengatakan bahawa siri cip pemprosesan AMD Ryzen AI 400 ini akan mula ditawarkan melalui jenama-jenama komputer riba bermula suku pertama 2026.

