AMD telah memperlihatkan cip pemprosesan Zen 5 mereka untuk siri komputer riba melalui siri Strix Point, yang terdiri daripada cip AMD Ryzen AI 300 yang kini menguasakan sejumlah komputer riba berkuasa setakat ini.
Akan tetapi, satu isu mengenai komputer-komputer riba ini ialah tanda harganya yang mahal, dan secara lazimnya cip-cip ini hanya diperlihatkan didalam komputer riba gaming berkuasa. Untuk ini, AMD juga telah mengesahkan bahawa mereka sedang membangunkan sebuah siri cip pemprosesan baru yang dinamakan Krackan Point untuk komputer riba dengan harga lebih mampu milik.
Menggunakan teknologi pemprosesan Zen 5 yang sama, AMD Krackan Point dijangka akan menguasakan komputer-komputer riba dalam kelas pertengahan dan mampu milik dalam julat harga $799 (~RM3500), dan akan diperkenalkan sekitar awal tahun hadapan, mungkin sekitar acara CES 2025.

Melalui laporan Tom’s Hardware, Krackan Point nampaknya akan tampil dengan lapan teras fizikal yang terdiri daripada empat teras prestasi dan empat teras kecekapan dan akan menggunakan cip grafik RDNA 3.5 sama yang digunakan pada cip pemprosesan Strix Point. Buat masa ini, kelajuan cip-cip pemprosesan ini masih belum diketahui lagi.
Dari segi kemampuan AI, ia dijangka bahawa cip pemprosesan ini, sama seperti Strix Point akan hadir dengan kemampuan AI TOPS yang membolehkannya menggunakan label Copilot+ PC oleh Microsoft. Apa yang menarik mengenai ini ialah ia juga bermakna bahawa ia berkemungkinan kita akan dapat melihat komputer riba AI mampu milik di pasaran tidak lama lagi.
