amree22/05/2026 - 17:35 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Mei — AME Elite Consortium Berhad mencatat prestasi kewangan terbaik dalam sejarah syarikat dengan keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26) yang lebih baik.
Prestasi tersebut melonjak kira-kira 208.4% kepada RM284 juta, didorong oleh faktor permintaan kukuh terhadap hartanah perindustrian, jualan tanah strategik serta peningkatan nilai portfolio pelaburannya.
Pencapaian itu membolehkan ia mengumumkan dividen interim kedua iaitu 4 sen sesaham dan dividen khas 3 sen sesaham, menjadikan jumlah pembayaran dividen FY26 meningkat kepada 13 sen sesaham.
"Pendapatan kumpulan ini bagi FY26 turut meningkat iaitu kira-kira 59.4% kepada sebanyak RM970 juta berbanding RM608.6 juta yang direkodkan pada FY25," maklum AME Elite kepada Bursa Malaysia.
Hasil turut disokong oleh keuntungan nilai saksama hartanah pelaburan berjumlah RM65.9 juta selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan, mencerminkan peningkatan nilai aset yang berterusan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dylan Tan Teck Eng berkata, momentum pertumbuhan dijangka berterusan lagi pada FY27, dipacu projek pembangunan taman perindustrian utama di Johor.
Begitu juga kemajuan Northern TechValley @ BKE (NTV) di Pulau Pinang dan pelancaran projek baharu i-Park @ Coalfields di Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion.
“Selain itu, bahagian pembinaan dan kejuruteraan terus disokong oleh buku tempahan luaran bernilai RM557.5 juta, manakala asrama pekerja baharu di i-TechValley sudah pun siap dibina," jelasnya.
Situasi positif tersebut ujarnya, membolehkan AME Elite meningkatkan kapasiti portfolio kepada lebih 9,000 katil dan menyediakan sumber pendapatan berulang yang stabil kepada kumpulan itu.
Sepanjang FY26, segmen pembangunan hartanah menjadi penyumbang utama pertumbuhan apabila hasil melonjak 162.8% kepada RM631.6 juta berbanding hanya RM240.4 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Perkembangan positif berkenaan tambahnya, didorong oleh faktor kemajuan pembangunan yang pesat serta jualan tanah kepada pengendali pusat data (DC) sekali gus menjana pendapatan lebih baik.
"AME Elite turut merekodkan jualan baharu hartanah perindustrian berjumlah RM453.6 juta di Johor, terutama projek utama i-TechValley di Southern Industrial and Logistics Clusters (SILC)," katanya.
Dalam pada itu jelasnya, di Pulau Pinang pula, projek Northern TechValley @ BKE menyumbang jualan baharu yang mencecah sebanyak RM137.3 juta dalam tahun penuh pertama sejak pelancarannya.
Segmen pelaburan dan pengurusan hartanah mencatat peningkatan hasil berulang 10% kepada RM80.7 juta, disokong penyewaan premis industri dan kadar penghunian stabil kemudahan asrama pekerja.
Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026, kumpulan merekodkan hasil RM186.8 juta, meningkat 61.6% berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan bersih melonjak 122% kepada RM81.1 juta.
"Prestasi suku tahunan itu didorong oleh pertumbuhan operasi merentasi semua segmen perniagaan serta peningkatan nilai saksama hartanah pelaburan," tambah AME Elite dalam kenyataan tersebut.
Dividen interim kedua dan dividen khas yang diumumkan akan mempunyai tarikh kelayakan pada 18 Jun 2026 dan dijadual dibayar kepada pemegang saham pada 3 Julai 2026. - DagangNews.com






